Khamis, 10 Mei 2018 | 8:07pm
TAN Sri Mohamad Fuzi Harun mengadakan sidang media khas mengenai keselamatan sepanjang proses peralihan kuasa di Bukit Aman, Kuala Kumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Laporan pengundi disiasat - KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada pengundi, berhubung proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semalam.

Antara laporan diterima ialah SPR didakwa tidak membenarkan pengundi menunaikan tanggungjawab di beberapa pusat mengundi seluruh negara, sedangkan mereka belum mengundi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pengundi terbabit mendakwa petugas SPR menghalang pengundi daripada mengundi selepas nama mereka dikatakan sudah direkod berbuat demikian.

"Ketika ini, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti kebenaran laporan.

"Bagaimanapun, jumlah laporan membabitkan tindakan SPR di beberapa lokasi di seluruh negara belum dapat dipastikan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, petang tadi.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima laporan berhubung beberapa insiden di Pandamaran, Klang, susulan ada individu dilapor dihalang mengundi oleh sekumpulan lelaki seperti yang tersebar luas dalam laman sosial dan siasatan lanjut sedang dilakukan

Katanya, semua siasatan dijalankan mengikut Akta Pilihan Raya.

Mengulas kejadian di Putrajaya tengah malam tadi, Fuzi berkata, pihaknya terpaksa menyuraikan kumpulan yang didapati berkumpul meraikan kemenangan.

"Ketika cuba menyuraikan mereka, kumpulan penyokong terbabit membakar dan membaling mercun sehingga mendorong polis mengambil tindakan sewajarnya bagi menyuraikan mereka," katanya.

Berita Harian X