Rabu, 9 Mei 2018 | 1:48pm
NOR Ashikin Azmi yang masih berpantang dua minggu selepas bersalin anak pertama dibantu suami, Mohd Mustafa Hamzah tidak melepaskan peluang mengundi di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai, Semerak, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

Pantang tidak halang tunaikan tanggungjawab

PASIR PUTEH: Ibu yang berpantang dua minggu selepas bersalin anak pertama tidak melepaskan peluang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai, Semerak, hari ini.

Wanita berkenaan, Nor Ashikin Azmi, 29, yang berkerusi roda datang bersama suaminya, Mohd Mustafa Hamzah, 30.

Nor Ashikin berkata, walaupun keadaannya masih lemah, tetapi sebagai rakyat Malaysia dia berasa bertanggungjawab untuk mengundi.

Beliau yang berasal dari Pulau Lima berkata, anak perempuannya dijaga oleh jiran buat sementara waktu.

"Dalam masa dua minggu ini, saya tidak pernah berenggang dengan anak, namun demi masa hadapan negara, saya sanggup meninggalkannya semata-mata untuk mengundi.

"Saya mengundi buat kali kedua dan mahu melaksanakan tanggungjawab ini dengan sempurna walaupun dalam pantang. Alhamdulillah, saya dapat datang ke pusat mengundi dan menggunakan kerusi roda kerana masih tidak mampu berjalan jauh," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Suri rumah itu berkata, proses mengundi berjalan lancar kerana dia diberi keutamaan apabila dapat terus mengundi tanpa menunggu lebih lama.

Berita Harian X