Ahad, 6 Mei 2018 | 9:00am

Status bebas cukai beri nilai tambah Pulau Pangkor

PANGKOR: Sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampaui (terjangkau). Mungkin peribahasa ini yang bermaksud dengan sekali usaha, beberapa matlamat dapat tercapai sesuai untuk menggambarkan komitmen Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam pembangunan di Pulau Pangkor.

Peruntukan diberikan di pulau berkenaan sejak beberapa tahun lalu digunakan secara kreatif bukan saja untuk meningkatkan taraf hidup penduduk tetapi membuka peluang ekonomi, mempertingkat kemudahan asas serta meletakkan kedudukan Pangkor semakin popular di mata pelancong.


MASJID Al Badr di Kampung Teluk Gedong antara projek pembangunan di Pulau Pangkor. - Foto L Manimaran

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Pulau Pangkor, Asmadi Teh, berkata ketika ini banyak projek pembangunan khususnya untuk penduduk miskin dilaksanakan di pulau itu.

Beliau berkata, antaranya projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Teluk Gedong, Teluk Kecil, Kampung Masjid dan Kampung Sungai Pinang Besar membabitkan 294 unit rumah menerusi penyeliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.


BALAI Bomba dan Penyelamat Pangkor. - Foto L Manimaran

Terima pelbagai manfaat

Pada masa sama, katanya, lebih 300 nelayan tradisional menerima manfaat berupa pemberian sampan, enjin dan peralatan menangkap ikan.

Katanya, projek lain termasuk membina sistem pembuangan kumbahan lebih sistematik dengan kos RM40 juta oleh Indah Water Konsortium (IWK) manakala Telekom Malaysia (TM) pula sedang menaiktaraf sistem capaian Internet UniFI juga dengan kos RM40 juta di pulau itu.


TERMINAL penumpang Sungai Pinang Pangkor. - Foto L Manimaran

"Masjid al-Badar atau lebih dikenali sebagai masjid terapung seribu selawat bernilai RM11 juta berjaya menjadi ikon pelancongan baharu di pulau ini manakala Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan bernilai RM7 juta mampu meletakkan kedudukan Pangkor sebagai pusat kecemerlangan ilmu," katanya.

Terus pacu ekonomi

Terbaru, katanya, pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai kawasan bebas cukai oleh Kerajaan Persekutuan sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu penduduk yang diharap dapat memacu lagi pertumbuhan ekonomi pulau peranginan itu.

Pengerusi Persatuan Penjaja Pangkor, Zamzuri Suid, 50, pula berkata perubahan amat ketara dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini terutama membabitkan peluang ekonomi dan kebajikan golongan penjaja dengan status bebas cukai dijangka mampu melonjakkan lagi ruang dan peluang berkenaan.


TERMINAL penumpang Sungai Pinang Pangkor. - Foto L Manimaran

Katanya, walaupun keadaan ekonomi dikatakan tidak begitu baik dalam tempoh setahun ini, tetapi kehadiran pelancong domestik di Pangkor tidak pula menunjukkan penurunan ketara, sekali gus membolehkan penambahbaikan kemudahan pelancongan dilakukan secara berterusan dengan fokus turut menjurus kepada menarik kehadiran pelancong antarabangsa.

"Zambry amat menitik beratkan faktor kebersihan dan keindahan khususnya di kawasan pelancongan yang kini ditambahbaik menerusi projek dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


JALAN yang baru diturap di tokong Fu Ling Kong, Sungai Pinang Besar,Pulau Pangkor. - Foto L Manimaran

"Pengusaha dan pekerja di sektor pelancongan di pulau ini diberi bimbingan bagaimana mahu berinteraksi dengan pelancong, sekali gus menunjukkan Menteri Besar mahu pendidikan modal insan dan peningkatan prasarana bergerak seiring," katanya.

Maka, bagi penduduk Pangkor, semua projek pembangunan dilaksanakan itu ibarat `dayung sudah di tangan, perahu sudah di air', iaitu segalanya sudah dipersiapkan untuk mereka.

Info Parlimen Lumut


P074 Parlimen Lumut

  • Bilangan pengundi: 67,157 orang
  • Melayu: 48,384 orang (72.05 peratus)
  • Cina: 10,046 orang (14.96 peratus)
  • India: 7,683 orang (11.4 peratus)
  • Lain-lain: 1,044 orang (1.55 peratus)


N51 Pasir Panjang

  • Bilangan pengundi: 42,402 orang
  • Melayu: 31,696 orang (74.75 peratus)
  • Cina: 3,991 orang (9.41 peratus)
  • India: 6,337 orang (14.95 peratus)
  • Lain-lain: 378 (0.89 peratus)


N52 Pangkor

  • Bilangan pengundi: 24,755 orang
  • Melayu: 16,688 orang (67.41 peratus)
  • Cina: 6,055 orang (24.46 peratus)
  • India: 1,346 orang (5.44 peratus)
  • Lain-lain: 666 orang (2.69 peratus
13 dibaca
MASJID Al Badr di Kampung Teluk Gedong antara projek pembangunan di Pulau Pangkor. - Foto L Manimaran
TERMINAL penumpang Sungai Pinang Pangkor. - Foto L Manimaran
JALAN yang baru diturap di tokong Fu Ling Kong, Sungai Pinang Besar,Pulau Pangkor. - Foto L Manimaran
BALAI Bomba dan Penyelamat Pangkor. - Foto L Manimaran
PROJEK Perumahan di Sungai Pinang Besar di Pulau Pangkor. - Foto L Manimaran
Berita Harian X