Jumaat, 4 Mei 2018 | 3:15pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (kanan) bersama Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Ghafar Rajab melawat lokasi pengundian pos bagi warga PDRM Bukit Aman di Mes Pegawai Bukit Aman. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

111,702 warga PDRM undi awal esok

KUALA LUMPUR: Seramai 111,702 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara terbabit dalam proses pengundian awal yang dijalankan esok sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata daripada jumlah itu, seramai 106,042 membabitkan anggota dan pegawai berkhidmat di 14 kontinjen seluruh negara yang akan mengundi di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), manakala bakinya seramai 5,660 orang membabitkan anggota dan pegawai yang mengundi awal di Mes Pegawai serta Rumah PERKEP Bukit Aman.

"Proses pengundian awal ini akan dijalankan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan akan dihadiri bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Tan Sri Ismail Omar.

"Malah, kita jangka proses pengundian awal esok akan turut dihadiri calon bertanding pada PRU-14 ini yang ingin melihat bagaimana ia dijalankan," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab.

Mohamad Fuzi berkata, proses pengundian awal esok dijangka disertai 7,695 pesara polis yang berdaftar sebagai pengundi awal.

"Pesara polis berkenaan sepatutnya mengundi sebagai pengundi awam, namun mereka tidak mengisi borang pengundi awam dan kekal didaftarkan sebagai pengundi awal," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, seramai 5,854 warga PDRM terbabit dalam proses pengundian secara pos atau undi pos yang dijalankan selama dua hari bermula hari ini hingga esok.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 4,058 membabitkan warga PDRM di 14 kontinjen seluruh negara, manakala 1,796 orang lagi akan mengundi secara pos di Bukit Aman.

Berita Harian X