Selasa, 1 Mei 2018 | 3:08pm
IKONIK: Gunung Kinabalu merupakan produk sektor pelancongan yang popular.

Sabah di landasan terbaik untuk pembangunan industri pelancongan

SEKTOR pelancongan dilihat berupaya melonjak ke arah yang lebih tinggi dengan pelan pembangunan sektor pelancongan yang komprehensif oleh kerajaan Barisan Nasional Negeri Sabah demi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

Usaha kerajaan mempromosikan tempat-tempat pelancongan baharu di kawasan pedalaman Sabah, disamping menambah baik kemudahan infrastrukturnya, mempertingkatkan lagi keupayaan untuk menerima lebih ramai pelancong yang dijangka bertambah setiap tahun.

Bagi sektor ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM228 juta di dalam Bajet Negeri Sabah 2018 untuk memperhebatkan lagi pembangunan industri pelancongan seperti yang termaktub di dalam Dasar Halatuju Kerajaan negeri.

Semua ini adalah rangsangan utama sektor pelancongan yang menyaksikan pertumbuhan luar biasa bukan saja dari segi kehadiran para pelancong tetapi juga dari aspek kutipan hasil.

Kehadiran pelancong telah mencatat 3.74 juta tahun lalu, catatan tertinggi bagi negeri ini, dan membawa anggaran nilai perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM7.8 bilion.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) juga kekal sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk di negara ini dengan 410 penerbangan domestik dan 186 penerbangan antarabangsa setiap minggu.

Sejumlah RM15 juta telah disediakan dalam Bajet 2018 untuk mempromosikan pelancongan luar bandar disamping mempelbagaikan destinasi menarik di negeri ini. Langkah ini sudah tentu akan menguntungkan masyarakat luar bandar kerana mereka dapat terlibat sama dalam pembangunan industri pelancongan dalam negara.

Bagi merancakkan lagi pertumbuhan industri pelancongan di Sabah, Kerajaan Barisan Nasional bakal membangunkan projek Tanjung Aru Eco Development (TAED) seluas 348 ekar yang meliputi pembangunan bersepadu tepi pantai yang dijangka memberi manfaat kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar.

Manakala pembinaan Sabah International Convention Centre (SICC), bakal menjadikan Kota Kinabalu sebagai destinasi terkemuka bagi aktiviti Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) yang bertaraf dunia. Kedua-dua projek ikonik ini berjaya diwujudkan dengan bantuan dan sokongan padu Kerajaan Persekutuan.

Destinasi menarik dengan keindahan alam semula jadinya seperti Gunung Kinabalu, pantai yang luas terbentang, pulau-pulau yang menawan, taman negara dan hutan simpan, secara konsisten dipantau dan dipelihara, agar menjadi lebih mudah untuk diakses tetapi tetap dilindungi untuk generasi masa depan.

Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, akan terus berusaha untuk mempelbagaikan lagi produk-produk pelancongan di negeri Sabah.

Dengan demikian, masyarakat luar bandar akan turut menikmati pembangunan industri ini melalui kembara berasaskan eko (eco-tourism) dan program inap desa.

209 dibaca
Berita Harian X