Sabtu, 28 April 2018 | 4:21pm
JEMPUTAN bergambar kenangan bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussin Qattan (duduk , lima dari kiri) di Majlis Makan Malam Alumni Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci anjuran Kedutaan Besar Arab Saudi

Jemaah Malaysia tetamu Raja Salman

KUALA LUMPUR: Jemaah Malaysia paling ramai menjadi tetamu Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud, bagi mengerjakan umrah dalam kalangan 2,600 orang dari 140 negara yang terpilih sejak program itu diperkenal tiga tahun lalu.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Sheikh Abdullah bin Mudlij, berkata ini kerana negara itu menganggap Malaysia penting dalam menjayakan program berkenaan berdasarkan kualiti serta disiplin yang ditunjukkan oleh jemaah Malaysia.

Sejumlah 160 jemaah Malaysia terpilih mengikuti program itu sejak tiga tahun lepas.

"Pemilihan jemaah Malaysia ke program ini dilakukan setiap tahun berbanding jemaah dari negara lain yang hanya dipilih tiga hingga lima tahun sekali.

"Mereka yang dipilih adalah daripada kalangan ahli akademik, mufti, pendakwah dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Alumni Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci anjuran Kedutaan Besar Arab Saudi di sini, malam tadi.

Turut hadir, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussin Qattan; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta alumni program itu.

Mohamad Fuzi yang juga alumni program itu, berkata program itu membuka peluang kepada umat Islam di seluruh dunia untuk menunaikan haji serta umrah.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana memberikan perkhidmatan terbaik untuk umat Islam di seluruh dunia.

Program itu ditaja sepenuhnya oleh Raja Salman, membabitkan kos penginapan, tiket penerbangan, makan minum serta program ziarah ke kota suci Makkah dan Madinah.

Kerajaan Arab Saudi turut menganjurkan program tetamu Raja Salman bagi mengerjakan ibadah haji yang telah disertai sejumlah 27,500 jemaah dari seluruh dunia sejak 1996.

Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan, berkata sehingga kini, sejumlah 500 jemaah Malaysia telah dipilih untuk menunaikan ibadah haji menerusi program khas itu.

Beliau berkata, program itu telah merealisasi impian beribu-ribu umat Islam yang kurang berkemampuan untuk menunaikan ibadah haji.

Arab Saudi turut merancang untuk menampung sehingga 30 juta jemaah haji dan umrah pada tahun-tahun akan datang berdasarkan Wawasan 2030 yang diperkenal Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Kerajaan itu juga prihatin dengan kesejahteraan jemaah haji serta umrah, dan perkara ini dicerminkan menerusi wawasan itu.

Wawasan itu turut memfokus kepada memperluas perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada jemaah dengan menyediakan hospital serta pusat kesihatan untuk memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang masa, selain perkhidmatan kumbahan, kebersihan dan pencahayaan di tapak suci serta Jambatan Jamrah. - BERNAMA

Berita Harian X