Sabtu, 28 April 2018 | 2:41pm
SHAMSUL Iskandar Mohd Akin. - Foto NSTP

Shamsul Iskandar tanding DUN Rim, pertahan Parlimen

JASIN: Calon pembangkang mewakili PKR bagi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat kejutan apabila turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Shamsul yang juga Naib Presiden PKR, berkata keputusan menggantikan Azmi Khamis yang sebelum itu disebut-sebut bertanding di DUN Rim bagi berdepan penyandang, Datuk Wira Ghazale Muhamad daripada Barisan Nasional (BN) serta seorang lagi calon, Kintan Man (PAS) dibuat pucuk kepemimpinan parti, tengah hari semalam.

"Tentunya keputusan dibuat ini mengejutkan ramai pihak. Namun, kita yakin dapat memikat pengundi di DUN Rim dan mengekalkan kemenangan di Parlimen Hang Tuah Jaya.

"Semalam, pucuk kepemimpinan sudah buat keputusan calon sebelum ini beri laluan kepada saya untuk bertanding di DUN Rim. Saya akan buat beberapa kempen politik bertujuan memenangi kawasan ini memandangkan majoriti kemenangan BN pada PRU-13 amat tipis," katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.

Shamsul Iskandar, penyandang kerusi Parlimen Bukit Katil yang kini dikenali Parlimen Hang Tuah Jaya akan dicabar bekas Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Ali Rustam dan bekas penyandang kerusi DUN Bukit Baru yang kini DUN Bukit Katil daripada PAS, Dr Md Khalid Kassim.

Pada PRU-13, Ghazale yang juga Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri menang dengan majoriti 1,121 pengundi menewaskan Azmi Khamis (PKR).

Berita Harian X