Rabu, 25 April 2018 | 6:57pm
PENGERUSI Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar. - Foto Asyraf Hamzah
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berseloroh selepas mencuba alat interaktif di galeri PNB Real Estate sambil disaksikan Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Wahid Omar, dan Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Development, Mohd Salem Kailany.

MSAM 2018 lepasi sasaran pengunjung

BATU PAHAT: Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM)2018 yang melabuhkan tirainya hari ini di Stadium Batu Pahat melepasi sasaran pengunjung apabila merekodkan sebanyak 200,168 pengunjung.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata jumlah pengunjung berkenaan direkodkan pada jam 5.30 petang tadi sebaik MSAM 2018 melabuhkan tirainya sekali gus mengatasi jumlah pengunjung MSAM 2009 di Johor Bahru.

Katanya, MSAM 2018 yang bermula 19 hingga 25 April menerima sambutan hebat masyarakat daerah ini dan sekitarnya walaupun dilangsungkan dalam keadaan cuaca hujan hampir setiap hari serta demam pilihan raya umum yang sedang melanda negara.

Beliau berkata, PNB amat gembira dan terharu atas sokongan padu pengunjung sehingga membolehkan sasarannya melebihi jangkaan.

"MSAM 2018 berjaya merekodkan sejumlah 200,168 pengunjung yang mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dianjurkan.

"Ia sekali gus melebihi sasaran PNB yang menyasarkan 150,000 pengunjung sekali gus mengatasi jumlah pengunjung seramai 156,000 yang dicatatkan ketika MSAM 2009 di Johor Bahru walaupun tempoh penganjuran di Batu Pahat hanya tujuh haru berbanding 10 hari di Johor Bahru.

"Ini membuktikan orang Batu Pahat, Johor dan sekitarnya memang hebat kerana amat menyokong program berasaskan pelaburan dan pendidikan kewangan sebegini, " katanya berucap pada majlis penutupan MSAM 2018.

Majlis penutupan MSAM 2018 disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Sementara itu, pada sidang media Abdul Wahid berkata, PNB tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan MSAM 2019 di lokasi daerah lagi seperti yang dilakukan sejak tiga edisi lalu selepas menjelajah semua ibu negeri utama.

"MSAM 2016 diadakan di Tapah, Perak; MSAM 2017 di Temerloh, Pahang dan tahun ini di Batu Pahat, ..jadi kita tidak menolak saranan Timbalan Perdana Menteri untuk mengadakan MSAM 2019 di Bagan Datuk, Perak, namun ia memerlukan perincian lanjut," katanya.

Abdul Wahid berkata, MSAM yang dianjurkan sejak 2000 itu sudah memanfaatkan seramai 5.7 juta rakyat negara ini dalam pelbagai program yang menerapkan ilmu pelaburan dan perancangan kewangan.

Berita Harian X