Jumaat, 20 April 2018 | 3:14pm

CEO PUNB kecewa jadi mangsa fitnah

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Azhar Ahmad kesal dirinya menjadi mangsa berita palsu oleh individu yang tidak dikenali melalui satu e-mel layang pada Isnin lalu.

Dalam e-mel yang dikirim individu dikenali sebagai Abu Seman itu, menuduh Azhar sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab dalam tugasnya.

"Isi kandungan e-mel itu memfitnah saya sebagai CEO yang tidak melakukan tugas dengan amanah dan tidak membantu orang Melayu menjalankan perniagaan.

"E-mel itu turut menuduh saya sengaja melambatkan permohonan pembiayaan menyebabkan usahawan gulung tikar kerana tiada bantuan pembiayaan," katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Antara pihak yang turut menerima emel berkenaan adalah barisan kepimpinan negara, pegawai kerajaan, Bank Negara Malaysia, barisan Pengarah PUNB dan kakitangan perbadanan itu.

Azhar berkata,, tuduhan tidak berasas itu dikhuatiri menjatuhkan imej PUNB yang selama ini tidak putus membantu golongan Bumiputera untuk menjalankan perniagaan.

"Sejak Mac 2017 sehingga kini, PUNB sudah membantu lebih 380 usahawan membabitkan pinjaman kewangan sebanyak RM125 juta dalam pelbagai bidang perniagaan.

"Malah PUNB mengeluarkan dana sendiri sebanyak RM300 juta untuk membantu pemohon mendapatkan bantuan kewangan.

"Jadi, tuduhan dilemparkan bahawa saya tidak melakukan tugas dengan baik adalah tidak benar sama sekali, malah keutamaan saya adalah ingin membantu seberapa ramai orang Melayu berjaya dalam perniagaan," katanya.

Ekoran tuduhan berkenaan, Azhar membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields semalam bagi tujuan siasatan lanjut dan berharap kes berkenaan dapat disiasat mengikut Akta Anti-Berita Tidak Benar.

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Datuk Azhar Ahmad (tengah) bersama Pegawai Kanan PUNB, Abdul Jalil Sulaiman (kanan) dan Mohd Ibrahim Ahmad menunjukkan laporan polis mengenai fitnah surat layang terhadap beliau. - Foto Amirudin Sahib.
Berita Harian X