Khamis, 19 April 2018 | 10:01pm
DATUK Seri Hamzah Zainudin (tengah) bersama Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad (kanan) meletakkan logo simbolik Perasmian Penutup Konvensyen Pembangunan Koperasi FELDA 2018 dan Pelepasan Jelajah Ini Rancangan Kita hari ini. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Hamzah Zainudin (duduk tiga, kiri) bergambar kenangan dengan warga FELDA pada Perasmian Penutup Konvensyen Pembangunan Koperasi FELDA 2018 dan Pelepasan Jelajah Ini Rancangan Kita hari ini. Hadir sama, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad (duduk empat, kiri). - Foto BERNAMA

Transformasi FELDA 2.0 tingkatkan pendapatan peneroka

BANGI: Transformasi FELDA 2.0 bakal mengurangkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar, kata Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Katanya, pelancaran FELDA 2.0 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Februari lalu, dalam mewujudkan sebuah komuniti FELDA yang pintar, mampan dan berdaya tahan serta lestari dari segi ekonomi serta alam sekitar hanya akan berjaya menerusi komitmen peneroka sendiri.

"FELDA menjadi peneraju dalam agenda transformasi luar bandar... ini bermaksud melakukan perubahan dan pembangunan luar bandar di negara ini," katanya pada sidang media selepas majlis penutup Konvensyen Pembangunan Koperasi FELDA 2018 di sini hari ini.

Konvensyen bertemakan 'Melestarikan Koperasi FELDA' itu berlangsung selama tiga hari mulai Selasa lalu. Majlis penutup itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Shahrir berkata lebih 1,000 peserta dari semua koperasi tanah rancangan FELDA menyertai konvensyen itu yang bermatlamat memperkasa peranan koperasi sejajar dengan hala tuju dan dasar koperasi kebangsaan.

"Tujuan konvensyen ini untuk mendedahkan anggota Lembaga Koperasi Rancangan FELDA mengenai peranan, pengurusan dan perniagaan Koperasi FELDA. Selain daripada wakil koperasi, wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan anggota pengurusan FELDA turut menyertai konvensyen itu.

"Konvensyen ini juga memberi pendedahan dan idea untuk mengembangkan aktiviti koperasi rancangan FELDA dalam bidang perkhidmatan dan perniagaan bagi menjana pendapatan dan hasil yang tinggi serta memberi manfaat kepada anggota dan masyarakat setempat," katanya.

Shahrir berkata peneroka perlu jelas dengan agenda transformasi luar bandar itu dan menjadikan FELDA Lurah Bilut di Bentong, Pahang sebagai contoh terbaik dalam pembangunan luar bandar yang membabitkan tanah rancangan itu.

Sementara itu, beliau meminta peneroka tidak terpedaya dengan gimik memancing undi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menghapuskan hutang peneroka, yang merupakan antara perkara terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pakatan pembangkang.

Shahrir berkata, FELDA sudah pun mengeluarkan kenyataan pada Selasa lalu, menyatakan bahawa FELDA berjaya mengurangkan hutang peneroka menerusi pelan jangka panjang yang diperkenalkan agensi itu pada tahun lalu.

"Pelan membabitkan perubahan struktur itu diperkenalkan pada 23 Julai tahun lalu bagi menyelesaikan isu hutang tanam semula yang membebankan peneroka. Ia merangkumi pelupusan hutang tanam semula bernilai RM5,000 bagi semua peneroka yang bersama FELDA," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X