Ahad, 15 April 2018 | 6:22pm
ANTARA pengunjung yang datang ke Karnival Usahawan Desa KUD @ Bera 2018 di Laman Kerayong.- Foto Nazirul Roselan

KUD platform promosi, pasarkan produk desa

BERA: Usahawan desa perlu menjadikan Karnival Usahawan Desa (KDU) sebagai platform untuk mempromosi produk mereka di samping mewujudkan jaringan dengan syarikat besar bagi meluaskan pasaran ke peringkat global.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KUD disediakan bagi membantu usahawan desa ini untuk lebih berdaya saing seterusnya dapat meningkatkan pendapatan mereka.

"Antara masalah yang sering membelenggu usahawan desa ini adalah cara untuk memasarkan produk. Mereka mungkin ada produk yang bagus namun oleh kerana tidak tahu bagaimana untuk memasarkannya, produk tidak mendapat sambutan.

Masalah modal

"Selain itu usahawan desa juga turut berdepan masalah modal, meskipun mempunyai kreativiti untuk menghasilkan produk. Justeru bagi membantu mereka kerajaan menyediakan pelbagai jenis pembiayaan serta memudahkan prosesnya," katanya ketika sidang media selepas merasmikan KUD@Bera di Laman Kerayong, di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, segala bantuan yang diberikan itu secara tidak langsung menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu usahawan desa terutama Bumiputera untuk terus berjaya dalam perniagaan yang mereka ceburi.

"Usahawan desa perlu merebut peluang yang terhidang ini dan bijak untuk meningkatkan pengeluaran produk mereka seterusnya mampu menjana pendapatan lumayan.


MENTERI Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (lima kiri) bergambar bersama usahawan yang menerima bantuan perniagaan pada Karnival Usahawan Desa KUD @ Bera 2018 di Laman Kerayong. - Foto Nazirul Roselan

Daftar dengan Desamall Online

"Kita juga menggalakkan usahawan desa ini mendaftar dengan Desamall Online di mana mereka boleh memasarkan produk secara dalam talian, mana tahu produk mereka boleh menembusi pasaran antarabangsa. Setakat ini 500 usahawan desa mendaftar dan kita jangka lebih ramai akan berbuat demikian menjelang hujung tahun ini," katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Ismail Sabri menyerahkan kunci motosikal kepada 73 peserta Mobilepreneur Pahang terdiri daripada pengusaha perkhidmatan jahitan, juruelektrik, jurukimpal dan pereka grafik.

KUD@Bera yang berlangsung selama empat hari itu menghimpunkan 69 usahawan desa yang mempamer dan mempromosikan produk mereka dengan sasaran pengunjung seramai 100,000 orang dengan nilai jualan RM200,000.

Karnival itu juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik antaranya, pertandingan larian, sukan rakyat, ceramah perdana, cabutan bertuah dan persembahan artis terkenal.


ANTARA gerai jualan yang terdapat di Karnival Usahawan Desa KUD @ Bera 2018 di Laman Kerayong. - Foto Nazirul Roselan

Kerajaan sedia banyak inisiatif bantu usahawan desa

Pelbagai inisiatif dan bantuan diberikan kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, bagi membantu usahawan desa mempromosi dan memasarkan produk masing-masing.

Antara bantuan diberikan pada Karnival Usahawan Desa di Bera (KUD@Bera) adalah Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM), Bantuan Membaiki Telefon Bimbit dan penyerahan motosikal bagi Program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur).

Penerima SPiM, Sazuhaina @ Azlinda Harun, 36, menarik nafas lega apabila hajat membeli mesin memasak sos tercapai selepas menerima bantuan RM250,000.

Katanya, dia sudah 12 tahun mengusahakan perniagaan sos cili, kicap tiram menerusi jenama Azimah dan tentunya mesin berkenaan dapat mempercepatkan proses menghasilkan sos seterusnya meningkatkan jumlah pengeluarannya.

"Mesin yang dibeli menerusi bantuan SPiM ini dapat membantu meningkatkan pengeluaran produk saya sekali gus memenuhi permintaan pasaran secara berterusan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tukang jahit, Elinaton Misrani, 34, pula bersyukur motosikal diterima menerusi Program Mobilepreneur memudahkannya mengambil serta menyerahkan tempahan pakaian kepada pelanggan.

Katanya, sebelum ini dia hanya beroperasi dari rumah di FELDA Kuamai dan pelanggan perlu datang ke rumahnya untuk diambil ukuran badan sebelum tempahan disiapkan.

"Program Mobilepreneur ini dilengkapi dengan peralatan menjahit dan mungkin saya boleh melakukan jahitan ringkas untuk pelanggan sekiranya mereka memerlukan," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan membaiki telefon bimbit, Muhammad Akhir Darus, 24, akui kini lebih yakin untuk menjalankan perniagaan membaiki telefon bimbit selepas mengikuti kursus latihan yang disediakan kerajaan.

44 dibaca
Berita Harian X