Sabtu, 14 April 2018 | 1:55pm
TAN Sri Abdul Wahid Omar. - Foto NSTP

MSAM 2018 ketengah elemen digital

BATU PAHAT: Pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di Stadium Batu Pahat di sini, tidak perlu lagi menggunakan kad pengenalan untuk pendaftaran dan penebusan hadiah, sebaliknya bakal diberikan gelang tangan untuk memasuki ruang pameran.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata pengunjung juga diminta mengimbas kod QR melalui telefon pintar masing-masing bagi membolehkan mereka menyertai ePeraduan dan menebus hadiah ditawarkan.

Katanya, langkah pembaharuan dilakukan itu menepati tema MSAM 2018 iaitu 'Mendigitalkan Pengalaman Pelanggan' termasuk melalui susun atur pameran mengikut klasifikasi Zon Digital, Zon Hijau, Zon Robotik dan Zon Komuniti.

"Pengguna juga boleh memuat turun PNB Events Apps di Google Play dan Apps Store bagi memudahkan mereka mengetahui maklumat dan mendaftar menyertai acara dianjurkan PNB.

"Keunikan lain pada MSAM kali ini menerusi pembabitan kenderaan saji yang mengetengahkan makanan tradisi dan terbaik Johor, menariknya pelanggan boleh membuat pembayaran menggunakan Maybank QRPay.

"Zon Digital akan menempatkan bank, institusi kewangan dan ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Zon Hijau pula menempatkan syarikat berteraskan perladangan dan teknologi hijau, Zon Robotik menempatkan syarikat teknologi serta Zon Komuniti untuk syarikat badan kawal selia dan perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup MSAM Walk 2018 di Stadium Batu Pahat di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Abdul Wahid berkata, pelbagai program berteraskan pelaburan dan perancangan kewangan, hibur-didik diadakan secara percuma termasuk CCM Duopharma Interschool Showdown, Seminar Kewangan Khas ASNB, MNRB Ringgit Savvy dan Cendiakawan Muda Takaful Ikhlas.

Sementara itu, Zulkurnain melepaskan lebih 8,200 pengunjung menerusi MSAM Walk 2018 pada awal pagi ini disusuli cabutan nombor bertuah menawarkan pelbagai hadiah termasuk televisyen, 'mountain bike', komputer riba, kamera GoPro dan pelbagai barangan elektrik.

MSAM 2018 bermula jam 10 pagi hingga jam 10 malam pada 19 hingga 25 April ini dan masuk adalah percuma.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka merasmikan MSAM 2018 pada 19 April ini, manakala Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyempurnakan majlis penutup pada 25 April.

Berita Harian X