Jumaat, 13 April 2018 | 6:55pm
MUFTI Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. - Foto Salhani Ibrahim

Perlis larang calon, wakil jadi imam di masjid

KANGAR: Demi memelihara kesucian masjid daripada menjadi medan politik kepartian, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melarang semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi imam semua masjid di seluruh negeri ini.

Larangan itu merangkumi solat fardhu, solat jenazah atau solat sunat, kecuali solat dalam keadaan masbuk (terlewat).

Calon yang bertanding juga dilarang menyampaikan khutbah, ceramah, kuliah, taklimat, penerangan atau ucapan dalam kawasan masjid.

Larangan yang dikeluarkan JAIPs ini juga turut membabitkan wakil atau ejen calon daripada membuat perkara demikian di kawasan masjid.

Notis mengenai larangan berkenaan yang dihantar kepada semua imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid di Perlis itu, dikongsikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menerusi akuan Facebooknya, DrMAZA.com, hari ini.

Larangan lain turut membabitkan pemasangan bendera, kain rentang dan poster di seluruh kawasan masjid.

Tindakan itu diambil susulan titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang mengingatkan semua parti politik di negeri ini tidak menggantung atau menaikkan apa sahaja bentuk propaganda parti di kawasan masjid.

NSTP sebelum ini melaporkan, Raja Muda Perlis menitahkan kerjasama semua pihak itu turut merangkumi kawasan surau, tanah perkuburan dan sekolah agama di negeri ini.

Dalam titah itu, Tuanku Syed Faizuddin berharap semua pihak di Perlis tidak menggantung atau menaikkan sebarang bentuk bendera, poster atau apa sekalipun propaganda parti politik masing-masing di kawasan masjid dan surau di negeri itu.

Baginda menjelaskan larangan itu adalah selaras dengan '7 Amanat DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail' yang melarang politik kepartian dibawa ke masjid di negeri ini

962 dibaca
Berita Harian X