Jumaat, 13 April 2018 | 4:09pm
JOHARI Abu Bakar (tengah) melakukan gimik perasmian dengan melepaskan burung ketika hadir pada Program 'Terengganu Healthy Unity' 2018 di Taman Awam Rekreasi Bukit Besar. - Foto Ghazali Kori

Pembangkang baru janji, BN Terengganu sudah laksana

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu pimpinan Barisan Nasional (BN) memperuntukkan RM6.3 juta setahun bagi membekalkan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada rakyat negeri ini.

Pemberian air percuma itu memberi manfaat kepada 100,000 kediaman di seluruh Terengganu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Johari Abu Bakar, berkata kerajaan BN komited menjaga kebajikan rakyat khasnya membabitkan bekalan air bersih.

Katanya, bekalan air bersih percuma 20 meter padu kepada rakyat membabitkan peruntukan RM520,000 hingga RM550,000 sebulan, dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, menerusi Bajet 2018 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November tahun lalu.

"Bekalan air sebanyak 20 meter padu secara percuma ini sudah dikuatkuasakan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sejak Januari tahun ini dan tiada kaitan dengan gula-gula politik seperti didakwa pembangkang.

"Kerajaan BN sudah menguatkuasakan pemberian bekalan air percuma kepada rakyat, tidak seperti manifesto pembangkang yang hanya menawarkan inisiatif itu jika parti mereka menang dan berjaya menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) bulan depan," katanya.

Johari yang juga pegawai khas kepada Menteri Besar berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Terengganu Healthy Unity peringkat negeri di Taman Rekreasi Bukit Besar, di sini, hari ini.

Johari berkata, selain bekalan air percuma, kerajaan negeri yang diterajui BN sudah melaksanakan pelbagai lagi inisiatif yang ditawarkan pembangkang dalam manifestonya.

"Pemimpin pembangkang membuat pelbagai tawaran jika menang pada PRU akan datang termasuk tanah untuk lot perumahan dan pertanian.

"Hakikatnya, kerajaan negeri sudah pun meluluskan lebih 1,000 lot tanah untuk rakyat di negeri ini sejak pertengahan tahun lalu," katanya.

Mengulas manifesto BN negeri yang diumumkan Ahmad Razif semalam, Johari berkata, selain potongan tol sebanyak 50 peratus dan projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur ketiga (LPT3) dari Tepoh ke Kota Bharu, cuti secara automatik selama 10 hari kepada suami apabila isteri bersalin juga berjaya menarik perhatian golongan belia terutamanya pasangan yang baru berkahwin.

17 dibaca
Berita Harian X