Khamis, 12 April 2018 | 6:27pm
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen ke 23 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman 2017 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dangangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohd Yusni Ariffin
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menepuk tangan memberi penghargaan kepada Kong Hwei Zhen penerima sijil amalan guaman yang cacat penglihatan pada Majlis Konvokesyen ke 23 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman 2017 turut bersama Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali (dua kiri) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dangangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohd Yusni Ariffin

Undang-undang perlu dilaksanakan tanpa gentar - Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Badan Peguam dalam pengertian politik, hendaklah bebas daripada sebarang campur tangan negara, dengan kebebasan menyediakan perkhidmatan undang-undang kepada warga di negara ini, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda yang memetik penulisan Raja Aziz Addruse, bertitah ia perlulah dilaksanakan tanpa gentar - tanpa pilih kasih, terutamanya dalam bidang undang-undang awam dan undang-undang jenayah.

"Tiada sesiapa pun dibolehkan berada di atas undang-undang. Raja Aziz Addruse mengingatkan bahawa kedaulatan undang-undang adalah sesuatu yang tidak boleh diterima begitu sahaja.

"Usaha mendaulatkan undang-undang sering mencetuskan cabaran dan risiko yang turut memerlukan pengorbanan diri.

"Undang-undang yang tidak dilaksanakan secara adil lagi saksama, akan gagal memenuhi tujuan murni penggubalannya, dan akan tinggal sebagai tulisan tanpa nyawa - tanpa roh di atas kertas," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-23 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Sebanyak 592 lulusan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman menerima sijil masing-masing pada majlis tersebut.

Yang turut hadir, Peguam Negara yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sultan Nazrin bertitah, kekuatan serta kestabilan negara adalah disebabkan pemerintahan dan urus tadbir negara selama ini diasaskan kepada undang-undang yang dilaksanakan secara adil dan telus.

Baginda bertitah, demi kelangsungan sebuah negara merdeka yang berdaulat, aman tenteram, makmur lagi sejahtera, aspek keluhuran

Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang adalah amat wajib dipertahankan.

"Aspek itu tidak boleh dikorbankan oleh mereka yang diamanahkan dengan tugas dan tanggungjawab sebagai pengamal undang-undang," titah baginda.

31 dibaca
Berita Harian X