Khamis, 12 April 2018 | 1:43pm
KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menyiram air mawar di pusara ibunya, Allahyarhamah Mariamah Ali di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Kampung Melayu, Kluang. - Foto BERNAMA

Ibu KSN meninggal dunia

KLUANG: Ibu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Allahyarhamah Mariamah Ali, 83, yang meninggal dunia akibat sakit tua semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Kampung Melayu, dekat sini pagi tadi.

Jenazah Allahyarhamah dimandi dan disolatkan di Surau Taman Emas di hadapan kira-kira 50 anggota keluarga terdekat serta sahabat handai.

Majlis talkin dan doa disempurnakan Imam Masjid Haji Manan iaitu Imam Mohamad Amin Hussein.

Ali berkata ibunya pernah mengalami angin ahmar kira-kira 20 tahun lepas sehingga koma, namun selepas itu keadaannya hampir pulih.

"Dia tiada apa-apa sakit sampingan tetapi dua tiga hari ini lemah sedikit, tidak selalu boleh duduk dan makan sendiri...sampailah semalam, langsung tidak dapat berbuat apa-apa, cuma minta air. Sempat adik saya bagi air zam zam sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 5.30 petang," katanya yang ditemui selepas pengebumian itu.

Beliau yang juga anak kedua daripada lapan beradik bergegas pulang ke Johor selepas menerima berita mengenai keadaan ibunya.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di sisi anak-anaknya di kediaman anaknya di Jalan Sahabat 5, Taman Emas di sini. - BERNAMA

Berita Harian X