Isnin, 2 April 2018 | 5:35pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Program Bantu Rakyat dan Majlis Pecah Tanah PPR Lenggong di Kampung Chain, Lenggong, hari ini. -Foto Muhaizan Yahya

Jangan hina penerima BR1M - TPM

LENGGONG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi membidas pihak yang menyifatkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) umpama menerima dedak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang tidak perlu menghina rakyat, kerana di Perak sahaja seramai 684,588 orang menerima BR1M 4.0 berjumlah RM605 juta.

"Ertinya lebih setengah juta rakyat Perak menerima BR1M. Adakah RM605 juta ini dedak atau gula-gula atau hanya taburan untuk ayam itik?

"Jangan hina rakyat sebagai ayam itik kerana diberikan dedak kerana BR1M.

"Di Parlimen Lenggong sahaja, ada 11,631 penerima BR1M tahun lalu dan jumlahnya RM10.5 juta, adakah ini dedak?

"Tidak! Jangan hina orang Lenggong, rakyat Perak dan Malaysia yang terima BR1M kerana bagi kita, rakyat tahu berterima kasih kepada kerajaan yang memberikan BR1M ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bantu Rakyat dan Majlis Pecah Tanah PPR Lenggong di Kampung Chain, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Muhammad Mentek; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan ADUN Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak menjadikan perbezaan fahaman politik atau agama dalam pemberian BR1M kerana bersikap adil, namun mengingatkan pihak tertentu termasuk ulama supaya memberikan nasihat yang betul.

"Para ulama mesti beri nasihat dan jangan berpihak, jangan bagi hukum ikut selera politik sahaja," katanya.

Beliau berkata, rakyat terutama golongan B40 (berpendapatan rendah) perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan dalam konteks Parlimen Lenggong, rakyat perlu menterjemahkan kesyukuran itu dengan terus menyokong calon BN di Parlimen Lenggong dan dua erusi Dewan Undangan Negeri iaitu Kenering dan Kota Tampan pada PRU-14 nanti.

Berita Harian X