Ahad, 1 April 2018 | 3:11pm
DATUK Seri Johari Ghani (kanan) mendengar penerangan yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias ketika melawat pameran rumah pada Majlis Penutup Jualan Perumahan - Ke Arah Sejuta Impian, Alami Gaya Hidup Sejahtera di PWTC. - Foto Aswadi Alias

PKB pertahan tanah Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) adalah benteng dalam menangani sebarang penipuan didalangi pemaju untuk mengambil alih tanah di kawasan segi tiga emas itu.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ketika membidas tanggapan segelintir pihak mengenai peranan PKB menjelaskan, perbadanan yang ditubuhkan pada 2011 itu tidak mempunyai agenda tersembunyi.

Sebaliknya, tegasnya, penubuhan PKB pasca penggubalan Akta Perbadanan Kampong Bharu 2011 atau Akta 733 mempunyai matlamat tertentu, khususnya mempertahankan status milikan tanah berkenaan yang dianugerahkan Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa, sejak 115 tahun lalu.

"Baca betul-betul Akta 733 ini kerana PKB bukan pemaju, sebaliknya agensi yang ditugaskan untuk menyelaras sebarang pembangunan di sekitar Kampung Baru.

"Sekiranya ada rancangan pembangunan, kita perlukan persetujuan bersama semua pemilik lot tanah dan ini peranan PKB.

"Dalam erti kata lain, PKB diwujudkan bagi memastikan tiada mana-mana pemaju menipu tuan tanah Kampung Baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Ekspo Jualan Perumahan Edisi Nasional di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Penolong Setiausaha Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman, dilaporkan mendakwa Akta 733 yang diluluskan pada 2011 ialah agenda tersembunyi UMNO untuk menguasai tanah penduduk Kampung Baru.

Beliau mendakwa, akta berkenaan memberi kuasa penuh kepada Menteri Wilayah Persekutuan untuk melantik kroni UMNO menganggotai PKB, sekali gus memperuntukkan kuasa bagi mengawal segala projek dan pembangunan di Kampung Baru tanpa persetujuan pemilik.

Johari yang juga Menteri Kewangan II, menyifatkan tuduhan tidak berasas dan dangkal itu sengaja diwujudkan bagi menyuntik kebencian serta mengelirukan penduduk Kampung Baru.

"Mamat (Syed Badli) tu tak reti, dia bukan duduk Kampung Baru pun. Dia ada tanah waris tapi tak duduk, oleh itu dia tak faham," katanya.

Johari berkata, kerajaan komited merangka pelbagai usaha demi memastikan tanah berstatus milikan orang Melayu di Kampung Baru tidak jatuh ke tangan mana-mana pemaju.

Berita Harian X