Selasa, 27 March 2018 | 7:09pm
MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (tiga dari kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Dasar Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehudin Abg Shokeran (dua dari kiri), Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Masri Razali (empat dari kanan), Pengarah Darul Quran, Nordin Ahmad (tiga dari kanan) dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Mohamad Kamal Harun (dua dari kanan) bergambar bersama selepas selesai menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jakim dengan UiTM pada Majlis Perasmian Konvensyen Pendidikan Tahfiz Kebangsaan Tahun 2018. - Foto Supian Ahmad

DPTN bantu pelajar tahfiz lanjut pelajaran ke UA

KUALA LUMPUR: Penggubalan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) membuka peluang kepada penuntut tahfiz menyambung pelajaran di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di universiti awam (UA) tempatan.

Ini kerana DPTN digabungkan dengan pendidikan konvensional pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata penuntut tahfiz akan meneruskan proses pendidikan lanjutan secara arus perdana untuk melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik dan hafazan.

"Mereka diberi peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional tetapi harus kekal dengan pembelajaran hafazan yang berterusan sepanjang pengajian.

"Bahkan, mereka turut berpeluang melanjutkan pendidikan di Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang menawarkan kursus kemahiran," katanya pada sidang media Konvensyen Pendidikan Tahfiz Kebangsaan 2018 di Hotel Putra, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pusat Penyelidikan al-Quran (CQR) Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Datuk Othman Mustapha.

Konvensyen berkenaan menghimpunkan 100 peserta membabitkan pengetua maahad tahfiz al-Quran negeri, pensyarah institusi pendidikan al-Quran dan pegawai terbabit untuk berkongsi pengalaman, sekali gus mencari penyelesaian berkaitan isu pendidikan tahfiz al-Quran.

Pada majlis itu, Jamil Khir turut melancarkan Kamus Braille dihasilkan menerusi kerjasama antara Darul Quran JAKIM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Beliau berkata, prospek dan peluang berkenaan membolehkan pelajar tahfiz bukan saja memiliki kerjaya luas dalam bidang keagamaan, malah mendedahkan mereka dengan peluang pekerjaan profesional.

"Mereka mungkin bekerja dalam bidang kehakiman, kejuruteraan atau kesenian tetapi di dalam diri, mereka adalah penghafaz al-Quran.

"Jika kerangka ini dapat dijalankan dengan baik, saya yakin seramai 125,000 tahfiz muda mampu direalisasikan menjelang tahun 2050 seiring dengan aspirasi Transformasi Nasional (TN50)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Mohamad Kamal Harun mengalu-alukan kerjasama erat antara Darul Quran JAKIM dan institusi pendidikan itu.

"Bermula September ini, pelajar jurusan tahfiz Darul Quran berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda bergantung kepada bidang pengajian dipilih.

"Pihak Darul Quran dan kita sendiri akan memastikan hafazan pelajar dijalankan berterusan dengan dipantau pensyarah atau guru lantikan Darul Quran sendiri.

"Hasrat kita ingin menghasilkan siswa dalam bidang pengajian diminati tetapi pada masa sama, mereka kekal dengan ciri sebagai pelajar tahfiz," katanya yang menyasarkan 300 pelajar tahfiz untuk sesi pertama.

166 dibaca
Berita Harian X