Selasa, 27 March 2018 | 4:03pm

Pembinaan ECRL ambil kira kepentingan alam sekitar

DUNGUN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang membabitkan pembinaan lapan stesen di Terengganu di bawah Fasa 1, dibangunkan secara mesra alam bagi menjamin kelestarian dan kestabilan alam sekitar.

Bermula dengan kerja pengambilan tanah, infrastruktur asas dan persediaan tapak,projek yang dijadualkan siap menjelang 2024 itu turut mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Ketua Pembinaan Infrastruktur Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Noor Azlan Salleh berkata, kerja penelitian tanah, pembinaan kem induk dan satelit serta laluan masuk ke kawasan pembinaan di tapak ECRL di Terengganu kini hampir siap kesemuanya.

"Kerja infrastruktur pula akan bermula seawal bulan depan," katanya ketika sesi lawatan media ke Kem Induk ECRL di sini, hari ini.

Jajaran stesen ECRL di Terengganu membabitkan Kampung Raja, Telaga Papan, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai.

Noor Azlan berkata, lapan stesen di Terengganu meliputi empat stesen penumpang, satu kargo dan tiga stesen gabungan penumpang serta kargo.

"Selain itu, tiga jajaran sampingan juga akan dibina. Projek ECRL di Terengganu akan turut membabitkan pembinaan tiga terowong sejauh 3.3 kilometer (km) dan 60 jambatan serta jejambat merangkumi 52.1 km.

"Secara keseluruhannya, semua kerja tanah dan segala persiapan bagi jajaran di negeri ini meliputi jarak 176 km.

"Terowong, jambatan dan jejambat dalam jajaran Terengganu bertujuan melindungi hidupan liar yang berkeliaran di empat kawasan hutan simpan," katanya.

Projek ECRL yang sepanjang 688 km ini adalah antara projek kejuruteraan dan pembinaan yang paling mencabar di Malaysia kerana sejumlah besar kawasan yang terlibat adalah tidak rata dan terpaksa membatasi rupa bumi Banjaran Titiwangsa yang berbukit bukau serta hutan yang tebal.

Sekurang-kurangnya 44 terowong akan dibina di beberapa kawasan dengan keseluruhan jarak meliputi 39.1 km di sepanjang jajaran ECRL.

Ia termasuk terowong berkembar sepanjang 16.3 km dari Bentong ke Gombak yang bakal menjadikannya terowong rel terpanjang di negara ini.

Pembinaan ECRL di bawah Fasa 1 terbahagi kepada lapan seksyen dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Gombak, Selangor.

Seksyen 3, 4 dan 5 adalah membabitkan laluan di Terengganu. Seksyen 3 membabitkan laluan Setiu ke Marang; Marang ke Kemaman (Seksyen 4), dan Kemaman ke Kuantan (Seksyen 5).

Laluan ECRL bakal menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Lembah Klang.

Berita Harian X