Ahad, 25 March 2018 | 6:30pm
Presiden Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kiri), menyampaikan replika kunci motosikal Yamaha Y15ZR kepada pemenang cabutan bertuah kepada penghantar barang, Mohd Riyadh Mohd Khir, 28, di hari terakhir Program Minggu Permotoran Malaysia 2018 (MBW2018) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

'Rezeki 40 t-shirt MBW, bawa pulang 2 motosikal'

SERDANG: Pelaburan sebanyak RM2,000 bagi membeli 40 helai baju-T, nyata berbaloi buat seorang pengunjung Minggu Permotoran Malaysia atau Malaysia Bike Week (MBW) 2018 yang berakhir hari ini, apabila memenangi dua daripada 40 motosikal hadiah cabutan bertuah.

Penghantar barang, Mohd Riyadh Mohd Khir, 28 dari Shah Alam, berkata beliau datang ke MBW 2018 sejak Jumaat kerana tertarik dengan hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan iaitu 40 buah motosikal Yamaha Y15ZR dan Benelli RFS 150i.

"Saya membeli 40 helai baju-T MBW 2018 bernilai RM35 setiap satu, yang membolehkan mendapat 40 kupon cabutan bertuah. Alhamdulillah pada hari pertama jam 11.30 malam, saya berjaya memenangi sebuah motosikal Benelli RFS 150i," katanya.

Sabar terhadap pelaburan RM2,000 yang dibuatnya, Riyadh menunggu sehingga hari ketiga berlangsungnya MBW 2018 hari ini, dan jam 4.30 petang ini, dia sekali lagi terpilih memenangi Yamaha Y15ZR pula.

Anak sulung daripada lima beradik itu, merancang memberi motosikal yang dimenangi untuk kegunaan adik-adiknya kerana beliau sendiri sudah memiliki motosikal.


Penghantar barang, Mohd Riyadh Mohd Khir, 28, bergambar bersama motosikal Yamaha Y15ZR selepas diumumkan antara pemenang cabutan bertuah ketika hari terakhir Program Minggu Permotoran Malaysia 2018 (MBW2018) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Saya sendiri menggunakan Yamaha Y15ZR dalam urusan kerja menghantar barangan sekitar Lembah Klang Serta pulang ke kampung halaman di Tanjung Karang, Selangor," katanya.

Sementara itu, MBW 2018 anjuran Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) berjaya menarik sekitar 350,000 pengunjung dari seluruh Malaysia dan negara serantau yang lain.

26 dibaca
Berita Harian X