Ahad, 25 March 2018 | 4:52pm
PENGERUSI Tabung Haji (TH), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim menyerahkan bantuan BR1M kepada penerima di Dewan Tun Abdul Razak, Baling, hari ini. - Foto Safuri Kamarudin

Sistem Haji Pintar bukti kepemimpinan cemerlang Raja Salman

BALING: Usaha Arab Saudi memperkasakan pelbagai kemudahan untuk jemaah haji melalui sistem 'Haji Pintar' menunjukkan kepemimpinan kerajaannya yang cemerlang di bawah kepemimpinan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya termasuk jemaah Malaysia melihat secara jelas pelbagai penambahbaikan dan pemerkasaan yang dilakukan kini, jika dibandingkan 30 tahun lalu.

"Sejak sekian lama, Arab Saudi bertungkus lumus memperbaiki semua kelemahan dengan penambahbaikan bagi memastikan perjalanan jemaah tidak terjejas.

"Pelaksanaan sistem 'Haji Pintar' adalah petunjuk betapa seriusnya kerajaan Arab Saudi dibawah Raja Salman, meningkatkan prasarana pengangkutan, pengurusan lapangan terbang dan pengurusan haji.

"Seperti pengurusan lapangan terbang sekarang, tempoh masa menunggu pelepasan imigresen hanya 10 minit sahaja berbanding dua jam.

"Tahun lalu, Malaysia menjadi negara perintis dan saya bersama jemaah haji merasai sendiri apabila proses daftar masuk dilakukan di Malaysia menggunakan visa E-Haj dan apabila tiba di Arab Saudi, kami terus menaiki bas serta kereta api ke hotel," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling, ditemui pada program penyerahan bantuan BR1M di Dewan Tun Abdul Razak, di sini hari ini.

Azeez mengulas laporan NSTP hari ini, yang jemaah dari Malaysia yang berhasrat menunaikan haji dan umrah bakal menikmati pelbagai kemudahan menerusi pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdulfattah Sulaiman Mashat, dilaporkan berkata, penggunaan sistem berteknologi tinggi terkini bagi pelepasan imigresen di lapangan terbang yang mengurangkan masa menunggu dan pelaksanaan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).

Arab Saudi juga akan membuka lapangan terbang baharu Jeddah selepas Ramadan manakala kereta api berkelajuan tinggi Ekspres Haramain bernilai AS$16 bilion mungkin memulakan operasi komersial tahun ini. Ekspres Haramain direka untuk mencapai kelajuan sehingga 360 kilometer (km) sejam.

Projek yang turut dikenali sebagai 'Kereta Api Barat' atau 'Kereta Api Berkelajuan Tinggi Makkah-Madinah' itu merangkumi jarak sejauh 453 km, menghubungkan Madinah dan Makkah menerusi Bandar Raya Ekonomi Raja Abdullah (KAEC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, merangkumi laluan utama sepanjang 449.2 km dan jajaran penghubung 3.75 km ke lapangan terbang.

Azeez berkata, pihaknya mempunyai kerjasama rapat dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, hingga membolehkan Malaysia, satu-satunya negara yang diberi pengiktirafan sehingga mengetahui lebih awal perancangan mereka.

Katanya, semua pelaksanaan sistem baharu sememangnya sudah diketahui TH kerana kami berada dalam pelaksanaan terbabit maka tahun ini, ia akan memberi lebih persediaan kepada pasukan untuk menguruskan jemaah haji.

"Pengiktirafan terbabit menyaksikan jemaah haji Malaysia dijadikan kumpulan perintis menguji sistem Bukti Konsep (POC) bagi pelepasan awal sebelum berangkat ke Arab Saudi.

"Arab Saudi mencatat kejayaan menerusi pelaksanaan sistem visa E-Haj dengan Malaysia, India dan Indonesia serta tahun ini, ia diperluaskan ke seluruh dunia," katanya.

Mengulas penarafan 9.5 daripada 10 yang diberikan Arab Saudi kepada TH, Azeez berkata, ia adalah perkara membanggakan kepada semua rakyat Malaysia kerana kejayaan terbabit adalah kerjasama semua pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mempunyai hubungan baik dengan Raja Salman.

"Sepanjang 10 tahun saya menjadi Pengerusi TH, Arab Saudi memberi penarafan lebih dari 9 tetapi ia satu membanggakan apabila saya mengetahui hari ini, TH diberi penarafan 9.5.

"Pengiktirafan ini adalah kerana kerana sikap mulia, disiplin dan tatasusila yang ditunjukkan jemaah dengan dibantu tadbir urus TH yang mempunyai pasukan yang terbaik," katanya.

Berita Harian X