Khamis, 22 March 2018 | 6:38pm
MUHAMMAD Adam Rashidi Mohd Rafiq meraih sejuta mata ganjaran AirAsia Big selepas video berdurasi 15 saat yang dihasilkannya mengenai siri animasi Ejen Ali, berjaya menambat hati juri. - Foto NSTP

Video karya budak 6 tahun raih sejuta mata AirAsia

KUALA LUMPUR: Sejuta mata ganjaran AirAsia Big menjadi habuan buat seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun, selepas video berdurasi 15 saat yang dihasilkannya mengenai siri animasi Ejen Ali, berjaya menambat hati juri.

Peminat setia siri animasi terkenal itu, Muhammad Adam Rashidi Mohd Rafiq, memutuskan menghantar klip video berkenaan menerusi akaun instagram milik ibubapanya ketika pertandingan berlangsung pada September lalu.

Bapanya, Mohd Rafiq Ismail, berkata anaknya itu sangat meminati siri animasi berkenaan dan pasti terpaku di hadapan televisyen selama setengah jam pada setiap hari Jumaat untuk menonton rancangan kesukaannya itu.

"Video yang dihasilkan dengan tema kebaikan itu adalah ideanya. Adam begitu teruja dan kreatif ketika kami melakukan penggambaran video di sebuah masjid dekat Kota Bahru, Kelantan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Adam berkata, dia berharap dapat membawa keluarganya menunaikan ibadat umrah dengan mata ganjaran yang diterima itu.

Sebelum itu, Ejen Ali dan AirAsia melancarkan MATA SpyJet, sebuah pesawat Airbus A320 yang dihiasi dengan watak animasi berkenaan berpakaian khas.

"Ejen Ali adalah siri animasi pertama yang mempunyai rekaan pakaian khas menghiasi badan pesawat Airbus A320 Air Asia," kata Ketua Komersial Air Asia, Spencer Lee.

Lee berkata, kerjasama yang berkonsepkan #MisiAspirasiAirAsia adalah untuk memberi galakan kepada generasi muda untuk mengetengahkan bakat masing-masing dengan cara yang menyeronokkan.

"Kerjasama bersama Ejen Ali ini menyediakan pengalaman indah melalui #MisiAspirasiAirAsia untuk mengejar impian mereka," katanya

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, menyifatkan pelancaran pakaian khas itu ini adalah peristiwa yang amat bermakna buat Ejen Ali kerana ia adalah siri animasi Malaysia pertama yang berpeluang terbang tinggi bersama AirAsia.

"Kami berasa amat puas hati melihat segala usaha menghasilkan siri kartun Ejen Ali kini dizahirkan pada sebuah pesawat Air Asia.

"Kami berharap lebih ramai kanak-kanak di seluruh dunia akan tertarik dengan aksi hero cilik ini, di samping itu mendorong mereka untuk melakukan sesuatu yang hebat," katanya

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin, berharap agar kerjasama itu dapat membuka lebih peluang untuk industri animasi berkembang.

"Ia memberi kami pengakuan yang mendalam bahawa animasi Malaysia mencapai tahap baru," katanya.

Empat pemenang utama untuk kempen 1 juta mata ganjaran BIG turut dijemput untuk menyertai Ejen Ali dan AirAsia dalam misi rahsia bagi menceriakan 87 kanak-kanak kurang bernasib baik yang menghuni Orion Home di Paroi Negeri Sembilan pada 17 Mac lalu.

Antara pengisian dan aktiviti yang disajikan kepada kanak-kanak di bawah naungan Yayasan Kebajikan Budimas adalah permainan luar, sesi ceramah inspirasi oleh juruterbang AirAsia, tutorial solekan dengan krew kabin Air ASIA serta tayangan ekslusif episod terbaru Ejen Ali.

Siri animasi berkenaan disiarkan di TV3 pada setiap hari Jumaat jam 5.30 petang dan Sabtu jam 10.30 pagi dan turut bersiaran di 50 negara seluruh dunia.

TAMAT

15 dibaca
Berita Harian X