Rabu, 21 March 2018 | 6:04pm
PENGUNJUNG memilih barangan yang dijual di kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Produk KR1M 2.0 tawar lebih banyak pilihan

KUALA LUMPUR: Kepelbagaian produk yang ditawarkan di Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 (KR1M2.0) diakui memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Rata-rata pengguna yang ditemui di sekitar majlis pembukaan premis KR1M 2.0 di KK Super Mart, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, hari ini teruja dengan kepelbagaian produk, terutama barangan keperluan harian.

Suri rumah, S Velama, 62, berkata pelbagai barangan ditawarkan di kedai itu pada harga berpatutan dapat membantu menjimatkan perbelanjaan harian.

"Berbanding KR1M1.0, produk ditawarkan KR1M 2.0 lebih pelbagai dan memberi banyak pilihan kepada pengguna," katanya.

Pekerja swasta, Rozati Abdul Latiff, 56, berkata produk yang ditawarkan di KR1M 2.0 lebih murah berbanding harga pasaran.

"Barang yang dijual di KR1M 2.0 masih mengekalkan harga yang murah dan ia amat meringankan beban dalam perbelanjaan harian saya." katanya.

Pekerja swasta, Mazni Zuriyaty Mansor, 42, pula yakin penggunaan pembungkusan asal produk akan menyebabkan lebih ramai pengguna membeli produk di premis berkenaan.

"Penggunaan pembungkusan asal yang menarik berbanding produk terdahulu akan menambah daya tarikan pengguna," katanya.

KR1M 2.0 mula beroperasi pada Februari lalu menerusi tiga kategori iaitu konsep pasar raya menerusi rangkaian pasar raya TMG; jualan produk di rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart terpilih dan di kedai runcit yang berdaya saing.

67 dibaca
Berita Harian X