Rabu, 21 March 2018 | 4:30pm
PENGUNJUNG memilih barangan yang dijual di kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kerajaan serap kos pengangkutan produk KR1M 2.0

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan menyerap kos pengangkutan barangan jualan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dalam usaha menyelaras dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas pada harga berpatutan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk menjayakan inisiatif itu, kerajaan menyediakan peruntukan khusus kepada syarikat pengangkutan untuk pengedaran barangan jualan berkenaan.

Di samping itu, katanya, penyelarasan harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerajaan menyerap kos pengangkutan akan mampu menyamaratakan harga jualan barangan di seluruh negara.

"(Semua pelanggan KR1M 2.0) menikmati harga sama dan menerusi langkah kerajaan menyediakan peruntukan kepada syarikat pengangkutan yang membawa produk itu ia menunjukkan usaha diambil KPDNKK membawa kebaikan apabila harga barangan dikurangkan pada bawah harga pasaran.

"Kita hapuskan dasar kabotaj iaitu dasar yang memberi sedikit bebanan pada rakyat di Sabah dan Sarawak. Atas dasar itu dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan KPDNKK dan kementerian lain di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru, kita dapat koordinasi dan memberi kesan amat positif pada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan premis KR1M 2.0 kategori serbaneka di KK Super Mart, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasek Selatan di sini, hari ini. Premis itu sebahagian daripada 52 KR1M 2.0 yang sudah dan akan beroperasi sejak bulan lalu.

Ahmad Zahid turut menegaskan pelaksanaan KR1M 2.0 bagi memberi pilihan kepada rakyat untuk memperoleh barangan keperluan asas pada harga berpatutan bukan satu inisiatif bermusim kerajaan.

Sebaliknya, katanya, langkah proaktif kerajaan itu termasuk memansuhkan dasar kabotaj yang menyelaras harga barangan di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan dilakukan secara berterusan.

"Kerajaan harap langkah dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ini akan dapat diteruskan selain dari menyebar luaskan program ini dan ia bukan satu program bermusim, sebaliknya akan dilakukan dengan cara berpanjangan dan kekal.

"Iaitu barangan yang boleh kita uruskan terus dari pengeluar akan kita bincangkan supaya harga barangan berada di bawah harga pasaran dapat diteruskan," katanya.

Ahmad Zahid berkata sejak KR1M 2.0 dilancarkan Perdana Menteri pada 4 Februari lalu, ia mendapat sambutan sangat baik daripada rakyat.

Katanya, walaupun tempoh pelancaran agak singkat daripada persetujuan keputusan Jemaah Menteri, beliau selaku Pengerusi Majlis Tindakan Kos Sara Hidup meminta KPDNKK melakukan beberapa langkah drastik terutama dari segi penurunan harga mengikut kemampuan bagi memastikan harga barangan berada di bawah paras harga pasaran.

"Melihat kepada urus niaga dari segi hasil, kita dapati jumlah ini meningkat dan tentunya kerajaan bersetuju dengan cadangan rakan dalam Jemaah Menteri khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk memperluaskan urus niaga KR1M 2.0 ke Sabah, Sarawak termasuk di kawasan pedalaman.

"Oleh kerana ia satu usaha bukan hanya memberikan sebuah syarikat saja mengendalikan KR1M 2.0, kita dapati keberkesanan cukup dapat dirasai rakyat dan kita lihat menerusi langkah itu, kos pengangkutan dan margin keuntungan dapat dikurangkan.

"Namun apabila rakyat dapat menikmati harga di bawah harga pasaran, maka ia beri kesan cukup baik, di samping itu saya ingin ucap tahniah dari segi Jualan Sentuhan Rakyat, yang telah dilakukan dan setakat ini jualan terbesar di Tanah Merah dan Bagan Datuk," katanya.

Pelaksanaan KR1M 2.0 dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan syarikat runcit seperti pasar raya Tunas Manja Group (TMG), rangkaian kedai runcit KK Super Mart atau entiti peruncitan lain yang berwibawa tanpa bantuan kewangan daripada kerajaan.

Setakat ini, menerusi kerjasama bersama syarikat pengeluar dan peruncitan, KR1M 2.0 menawarkan harga kompetitif bagi lebih 100 produk, meningkat daripada 50 produk pada awal pelancaran KR1M 2.0.

Tumpuan produk ialah barangan keperluan asas seperti gula kasar, minyak masak, tepung gandum dan beras yang dijual pada harga berpatutan. Pelaksanaan KR1M 2.0 dibuat menerusi tiga kategori dan secara berfasa iaitu konsep pasar raya, kedai serbaneka khususnya di kawasan bandar dan kedai runcit biasa yang berdaya maju.

Perluasan KR1M 2.0 akan terus dilaksanakan sehingga mencecah 3,000 premis dalam tempoh tiga tahun. Penstrukturan KR1M 2.0 tidak memfokuskan kepada kedai fizikal yang khusus seperti dahulu.

11 dibaca
Berita Harian X