Rabu, 21 March 2018 | 4:13pm
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah. - Foto Abdullah Yusof

PM boleh bubar Parlimen - Pengerusi SPR

ARAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh membubarkan Parlimen tanpa perlu menunggu isu persempadanan semula selesai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata sekiranya situasi itu berlaku persempadanan lama akan digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

"Perlu kita ingat antara persempadanan semula dan pilihan raya ini adalah dua perkara berbeza.

"Bererti PM boleh tidak membawa soal isu persempadanan semula ke parlimen tetapi membubarkan parlimen. Apabila ia bubar kita akan guna persempadanan lama.

"Kita kena faham..pilihan raya ini tidak bergantung kepada persempadanan. Kalau tidak siap pun kita boleh sambung buat selepas pilihan raya," katanya, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya Perdana Menteri membawa isu persempadanan semula kemudian diluluskan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, maka persempadanan yang baru akan digunakan.

Katanya, jika persempadanan itu diluluskan, tempoh masa yang diambil untuk diwartakan tidak lama dan hanya mengambil masa sehari selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Jom Kita Semak dan Jom Kita Undi Peringkat Nasional di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, pagi tadi.

Pada majlis berkenaan juga turut berlangsung Majlis Taklimat Proses Pilihan Raya Kepada Pengamal Media Zon Utara.

Sementara itu, Mohd Hashim juga menjelaskan, pihaknya tidak pernah membuat perubahan dalam proses mengira undi seperti yang didakwa sesetangah pihak.

Katanya, pihak berkenaan mendakwa sebelum ini pengiraan undi dijalankan dua kali iaitu pengiraan undi Parlimen dan undi Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan secara berasingan.

"Dari dulu kita gunakan sistem yang sama..tiada perubahan apa-apa yang dibuat.

"Kita minta sekiranya mereka mempunyai masalah untuk menghantar ejen..selesaikan dahulu..jika perlu hantar dua orang hantar dua orang. Jangan hantar seorang," katanya.

Berita Harian X