Rabu, 21 March 2018 | 3:40pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PARLIMEN: Status rang undang-undang berita palsu diketahui esok

KUALA LUMPUR: Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said akan memaklumkan status rang undang-undang berkaitan berita palsu dalam sesi penggulungan Dewan Rakyat, esok.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari, berkata proses memperhalusi draf perincian undang-undang berkenaan masih berlangsung.

"Kita mengambil pandangan pelbagai pihak berkepentingan antaranya Majlis Peguam Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia sebelum drag terbabit dibentang ke Kabinet.

"Maklumat lanjut akan dikongsikan Ahli Parlimen Pengerang esok," katanya.Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, berkata apa sahaja isu berkaitan syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang timbul diiktiraf sebagai berita palsu kecuali maklumat terbabit dikeluarkan pihak berkuasa atau pihak yang memiliki skop dalam bidang berkenaan.

"Kes ini sudah disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara, namun saya percaya pihak sebelah sana (pembangkang) sering timbulkan isu lama.

"Kita tak perlu perhalusi dan polemikkan isu ini sebab lima daripada ahli jawatankuasa PAC adalah pembangkang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) berhubung isu 1MDB.

Terdahulu, beliau memaklumkan Jawatankuasa Khas Jenayah Siber yang ditubuhkan pada 20 November lalu berjaya menyiasat 154 kes jenayah siber dan media sosial, manakala 16 kes sudah didakwa di mahkamah.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga sudah mengambil tindakan terhadap 4,358 akaun palsu dan 80 peratus sudah dipadam oleh penyedia platform media sosial.

"Sekatan 48 laman sesawang, portal dan blog yang menyebarkan kandungan maklumat berita berunsur palsu juga turut disekat," katanya.

Berita Harian X