Isnin, 19 March 2018 | 6:57pm
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Supian Ahmad

Selangor didakwa lengah kelulusan tanah

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Selangor yang didakwa melengah-lengahkan kelulusan permohonan tanah berhubung pelaksanaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), boleh merencatkan projek yang sudah bermula sejak November lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya sudah memohon kerjasama untuk mempercepatkan pengambilan tanah bagi pembinaan projek terbabit.

"Setakat ini, kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu sudah meluluskan permohonan yang dikemukakan.

"Kita mahu siapkan projek terbabit menjelang 2024 dan kelewatan kelulusan dikhuatiri akan menimbulkan masalah.

"Justeru, proses terbabit diharap dapat disegerakan bagi tujuan pembinaan," katanya menjawab celahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) pada sesi penggulungan bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.

Pembinaan ECRL sepanjang 668 kilometer akan menghubungkan negeri Pantai Timur dengan fasa pertama membabitkan laluan landasan kereta api elektrik melalui Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Sebanyak 12 stesen penumpang, tiga stesen kargo, tujuh stesen penumpang dan kargo akan dibina menerusi fasa pertama.

Fasa kedua membabitkan pembinaan dua stesen penumpang dan dua stesen penumpang dan kargo dari Kota Bharu ke Pangkalan Kubor dan Selangor dari Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.

Berita Harian X