Khamis, 15 March 2018 | 2:37pm
AZIZAN serta isterinya, Azilawati terharu dengan pencapaian Muhamad Amir yang memperoleh keputusan cemerlang 11A ketika ditemui pada majlis Pengumuman Keputusan SPM di SMKA Al Irshad, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

SPM: Anak pekerja kilang dapat 11A

KEPALA BATAS: Bagi Muhamad Amir Azizan, 18, keputusan yang baik sudah memadai, tetapi dia mendapat kejutan bahagia apabila diumumkan antara 16 pelajar cemerlang sekolahnya yang mendapat 11A.

"Terima kasih Allah, ..hanya itu yang mampu saya ucapkan apabila diumumkan antara seorang daripada 16 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al Irshad yang memperoleh keputusan cemerlang, semua A dalam SPM 2017.

Anak kepada seorang pekerja kilang itu berkata, tidak pernah terlintas di hatinya untuk meraih keputusan cemerlang seperti diumumkan kerana hanya berharap mendapat keputusan yang baik sahaja.

"Saya tidak tinggal di asrama dan hanya berulang alik dari rumah ke sekolah sehingga menyebabkan masa belajar tidak konsisten kerana kurang membuat ulang kaji.

"Namun, saya menumpukan perhatian penuh ketika pembelajaran dalam kelas selain turut mendapat bantuan daripada rakan-rakan sehingga membolehkan saya memperoleh keputusan seperti ini," katanya ketika ditemui di sekolahnya, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, sokongan ibu, Azilawati Abdullah, 53, dan bapa, Azizan Dahman, 62, turut menjadi pencetus dan inspirasi terhadap kejayaannya.

"Ibu dan ayah tidak pernah marah jika saya tidak belajar dan mendapat keputusan yang kurang memuaskan sebaliknya mereka terus menasihati dengan memberi pesanan yang membuatkan saya sedar daripada kealpaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Mohd Jamil Mohamed berkata, seramai 752 daripada 23,105 calon yang menduduki SPM 2017 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A.

Beliau berkata, secara keseluruhannya prestasi keputusan SPM di negeri itu meningkat dengan merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.78 berbanding 4.85 pada 2016.

"Bagi peratusan calon layak mendapat sijil adalah 82.44 peratus dan sebanyak 23 sekolah di negeri ini memperoleh keputusan 100 peratus," katanya.

Berita Harian X