Khamis, 15 March 2018 | 12:30pm
DATU Nasrun Mansor

Kerajaan tidak bercadang tetapkan harga siling getah sekerap

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menetapkan harga lantai getah sekerap pada RM3 sekilogram buat masa ini kerana akan memberi impak kewangan sebanyak RM1.29 billion setahun.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Mansor, berkata pertambahan peruntukkan itu akan memerlukan sumber kawangan yang tinggi bagi menyokongnya sekiranya harga getah asli dunia mengalami trend penurunan yang mendadak.

"Faktor lain adalah akan mewujudkan ruang kepada aktiviti spekulasi harga oleh pedagang getah yang akan menekan harga ke paras rendah dengan mengambil kira kerajaan akan menampung perbezaan di antara harga pasaran dan harga lantai.

"Ini akan menyediakan ruang kepada aktiviti penyeludupan getah dari lur negara memandangkan harga tempatan adalah lebih tinggi berbanding harga antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu bilakah kerajaan akan mengumumkan pengenalan harga lantai getah.

Mengulas lanjut, Datu Nasrun yang juga Ahli Parlimen Silam berkata, kerajaan bagaimanapun amat prihatin terhadap kebajikan pekebun kecil getah dan melalui pelaksanaan insentif pengeluaran getah (IPG) pada 2015.

"IPG akan diaktifkan apabila purata harga bulanan SMR20 pada bulan sebelumnya adalah kurang daripada RM5.50 sekilogam atau harga di peringkat ladang untuk getah sekerap adalah di bawah RM2.20 sekilogram.

"Insentif ini bersifat serampang dua mata iaitu mengurangkan beban pengurangan pendapatan pekebun kecil kesan kejatuhan harga getah di samping galakan mereka untukterus menoreh sewaktu harga getah rendah di pasaran," katanya.

Jelas beliau, sehingga31 Januari lalu, sebanyak 545,175 bilangan permohonan tuntutan telah diluluskan bgi tujuan pengagihan IPG yang membabitkan peruntukkan sebanyak RM68.9 juta.

Tambahnya, mekanisma pelaksaan IPG adalah berunsurkan kepada produktiviti di mana semakin tinggi pengeluaran semakin banyak insentif yang bakal diperolehi pekebun kecil getah.

"Pada kadar semasa iaitu RM2.20 sekilogram dengan kandungan getah kering 50 peratus, ia akan membolehkan pekebun kecil dengan purata milikan tanah seluas dua hektar dan produktiviti getah sekerap 300 kilogram sehektar setahun menikmati pendapatan sebulan RM1,100.

"Ini melebih purata paras garis kemiskinan isi rumah negara iaitu RM950 sebulan," katanya.

Berita Harian X