Selasa, 13 March 2018 | 11:42am
AZALINA Othman Said. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Gubal undang-undang inklusif kekang berita palsu

KUALA LUMPUR: Perjumpaan antara kerajaan dengan wakil penyedia platform media sosial, Asia Internet Coalition, Google, Facebook (FB) dan Twitter, semalam bertujuan menggubal undang-undang bersifat inklusif bagi mengekang berita palsu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pertemuan itu juga membolehkan kerajaan memperoleh lebih banyak pandangan dan input daripada pemain utama bidang media baharu.

Katanya, pertemuan yang turut disertai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu mendapat reaksi positif daripada penyedia platform media sosial.

"Pertemuan ini penting bagi memastikan rang undang-undang yang sedang digubal itu komprehensif merangkumi setiap aspek. Tindakan ini juga membuktikan kerajaan bersikap inklusif dalam membuat sesuatu dasar atau undang-undang.

"Rang undang-undang ini juga bertujuan melindungi segenap masyarakat daripada menjadi mangsa berita palsu.

"Saya percaya ia menepati perkembangan dan keperluan semasa bagi membanteras fenomena global penyebaran berita serta maklumat palsu daripada menular dan membarah di negara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Azalina dilaporkan sebagai berkata, satu jawatankuasa khas dibentuk bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu.

Ia selaras usaha kerajaan menangani ancaman kestabilan politik yang turut menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Malaysia kini mengguna pakai Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang diperkenalkan sejak 30 tahun lalu untuk membanteras penyebaran kandungan berita palsu serta fitnah.

Seterusnya, Azalina berkata, satu bengkel dikendalikan Jawatankuasa Khas mengenai berita palsu diadakan semalam di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia bersama agensi kerajaan berkaitan.

Berita Harian X