Khamis, 8 March 2018 | 10:17pm

Boleh kesan penyebar berita palsu kurang 24 jam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mampu mengesan mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu dalam tempoh kurang 24 jam selepas kesalahan itu dilakukan menerusi media sosial.

Tindakan sepantas itu akan diambil pihak berkuasa berkenaan jika menerima aduan lengkap berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, termasuk berkongsi dan menyebarkan berita palsu.

Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata lebih 40 individu sudah disiasat mengikut akta berkenaan sepanjang tahun lalu, manakala empat lagi didakwa.

Katanya, kecenderungan berkongsi maklumat peribadi lengkap seperti nombor telefon, tempat tinggal, nombor pendaftaran kenderaan dan maklumat ahli keluarga secara terbuka di media sosial, memudahkan siasatan SKMM terhadap penyebar berita palsu.

"Kebanyakan mereka tidak tahu dari mana sumber sebenar berita atau maklumat yang mereka peroleh, tetapi terus menyebarkannya kepada kumpulan lain, sama ada menerusi aplikasi WhatsApp atau Facebook.

"Walaupun mereka bukan penulis asal maklumat atau berita berkenaan dan hanya sekadar berkongsi dan menyebarkan kepada pengguna media sosial lain, pendakwaan boleh dilakukan jika ada bukti yang kukuh dan sah," katanya.

Terdahulu beliau menjadi ahli panel pada Forum Bicara BH siri kedua yang mengupas isu berkaitan kesan perkongsian maklumat dan berita palsu di Balai Berita di sini, hari ini.

Yang turut menjadi ahli panel adalah Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Datuk Ahmad Izham Omar dan Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir.

Forum bertajuk "Tidak Pasti Jangan Kongsi" itu adalah anjuran BH dengan kerjasama SKMM bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesan perkongsian maklumat palsu terhadap ekonomi, keselamatan dan keamanan negara selain menjejaskan reputasi individu.

BH mengambil inisiatif menganjurkan program berkenaan sebagai platform untuk memupuk budaya perkongsian ilmu dan memainkan peranan dalam menyediakan kandungan berbentuk intelektual, informatif dan terkini.

Zulkarnain berkata, malang sekali apabila kebanyakan mereka yang didakwa adalah individu biasa yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam menyebarkan berita palsu berkenaan sebaliknya hanya mahu berkongsi maklumat dengan rakan lain.

"Dalang sebenar yang mempunyai agenda tersendiri ada yang melarikan diri ke luar negara dan mendapat suaka politik di negara itu. Malah, mereka juga tidak berkongsi maklumat peribadi secara terbuka di media sosial seperti kebanyakan orang biasa yang memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan," katanya.

Beliau berkata, selain ditahan untuk soal siasat, pihak berkuasa juga akan turut merampas alat komunikasi yang digunakan dalam penyebaran berita palsu dengan mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara setahun.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, SKMM tidak pernah menyekat kebebasan rakyat untuk mendapatkan maklumat di alam maya, namun mereka perlu bertanggungjawab mengawal selia sendiri setiap maklumat yang dicari dan diperoleh dari internet.

"Tindakan menyekat penyebaran maklumat hanya akan dilakukan jika kandungan informasi di internet melampaui batasan. SKMM hanya menyekat maklumat yang betul-betul boleh mengancam keselamatan negara seperti jenayah atau laman web palsu serta laman lucah.

"Jika maklumat berkenaan memberi pengetahuan berguna kepada orang ramai, kita memberi galakan kepada mereka untuk mendapatkannya," katanya sambil menambah, perkembangan pantas teknologi maklumat juga menyukarkan SKMM melakukan sekatan.

Katanya, masyarakat sendiri perlu meningkatkan pengetahuan masing-masing termasuk memantapkan kemahiran celik digital dan tidak terburu-buru menyebarkan maklumat diperoleh di alam maya dalam usaha mewujudkan ekosistem media sosial yang sentiasa bersih dan sihat.

110 dibaca
KETUA Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X