Khamis, 8 March 2018 | 11:38am
HAMZAH Zainudin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Parlimen: KR1M2.0 strategi serampang dua mata

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 bakal mencetuskan tekanan terhadap rangkaian perniagaan di negara ini dalam menurunkan harga barangan untuk kekal berdaya saing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata strategi serampang dua mata itu berupaya mempelbagaikan pilihan barangan keperluan harian kepada pengguna dan menyebabkan tempias perubahan positif dalam sektor peruncitan.

Katanya, pelaksanaan KR1M 2.0 menyaksikan percaturan model perniagaan yang menjual barangan berkualiti pada harga rendah berdasarkan kerjasama dengan pengeluar terkemuka tertentu di negara ini.

"KR1M mempunyai tiga fasa pelaksanaan iaitu pasar raya, kedai serbaneka dan cawangan peruncitan bebas, justeru ia bersifat menyeluruh sehingga berupaya mencetuskan impak positif bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

"Kita tidak akan terburu-buru melaksanakan fasa akhir KR1M 2.0, iaitu menjalin kerjasama dengan kedai runcit bebas kerana perlu mempertimbangkan beberapa faktor, termasuk kos logistik.

"Selain itu, kerajaan ingin pastikan lokasi kedai runcit bebas ini berada dalam lingkungan 15 hingga 20 kilometer daripada pasar raya dan serbaneka yang bernaung dalam KR1M 2.0 supaya menjamin jualan bekalan keperluan harian pada harga berpatutan," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Idris meminta hala tuju kerajaan berhubung mekanisme KR1M 2.0 bagi memastikan harga barang keperluan dijual pada kadar lebih rendah daripada pasaran.

32 dibaca
Berita Harian X