Rabu, 7 March 2018 | 7:03pm

Ahad baru dapat air

IJOK: Pengguna air membabitkan 563,622 akaun di sekitar Lembah Klang perlu menunggu hingga Ahad ini untuk mendapat semula bekalan, susulan sistem mampatan udara pecah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) di sini, semalam.

Walaupun Kerajaan Selangor berkata kerja pembaikan kecemasan sedang dijalankan selama 24 jam, bekalan akan disalurkan secara berperingkat kepada pengguna di enam wilayah iaitu Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Tempoh pemulihan sepenuhnya bagi kawasan Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur dijadualkan pada jam 6 petang Ahad manakala Kuala Langat dan Hulu Selangor pulih pagi Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib, berkata insiden kerosakan itu membabitkan lima batang paip bersaiz 1,100 milimeter (mm) termasuk dua yang rosak teruk.

"Kes berlaku ketika pihak LRA SSP3 yang dikendalikan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) sedang dalam persediaan pengoperasian semula loji selepas kerja pembaikan kritikal di dalam rumah pam siap dilaksanakan pada jam 5 petang semalam.

"Ekoran kejadian itu, Kerajaan Negeri mengarahkan pihak Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) membantu SPLASH menyegerakan kerja pembaikan dan mengurangkan impak gangguan bekalan air kepada pengguna.

"Kerja pembaikan dijalankan oleh 10 pasukan secara berterusan dan dijangka siap pada jam 6 petang esok," katanya pada sidang media di LRA itu, hari ini.

Semalam, lima kakitangan Air Selangor dan SPLASH cedera selepas sistem mampatan udara di loji itu pecah, kira-kira jam 5 petang.

Semua mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta di Rawang untuk rawatan.

Zaidy berkata, kerja pembaikan kritikal di loji sebelum ini bagi membaiki kerosakan injap pam nombor tiga oleh SPLASH selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Masalah ini hanya dikesan selepas Air Selangor mendapati berlaku Penyusutan Paras Kolam Imbangan Bukit Tadun pada 26 Januari lalu disebabkan pengurangan kadar pengepaman air bersih dari LRA SSP3 itu.

"Pihak pengurusan Air Selangor cuba berjumpa pihak pengurusan loji bagi mendapatkan maklum balas tetapi tidak berjaya dan melaporkannya kepada pihak SPAN.

"Sehubungan itu, siasatan dijalankan pada 5 Februari lalu dan mendapati empat unit pam air bersih tidak berfungsi dan mengalami kerosakan antaranya membabitkan injap dan gegalas," katanya.

Beliau berkata, SPLASH memohon untuk melakukan henti tugas loji lebih awal namun bagi mengelak gangguan ketika sambutan Tahun Baharu Cina, SPAN meluluskan kerja itu dilaksanakan semalam.

Zaidy berkata, Air Selangor membuat persediaan bagi pelaksanaan kerja berjadual dan mengeluarkan notis pemakluman awal gangguan bekalan melalui hebahan media, SMS dan laman sesawang.

"Sembilan Pusat Khidmat Setempat juga diaktifkan dan menambah jumlah kapasiti lori tangki kepada 96 buah selain 11 lori tangki jumbo bagi membantu pengguna yang terjejas.

"Air Selangor turut mendapat bantuan daripada rakan operator air seperti Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Lembaga Air Perak (LAP), Syarikat Air Johor (SAJ), Syarikat Air Pulau Pinang (PBAPP), Syarikat Air Melaka (SAMB), Syarikat Air Kelantan (AKSB), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), Syarikat Air Terengganu (SATU) dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

29 dibaca
PEKERJA melakukan kerja-kerja penyelengaraan selepas sistem mampatan udara pecah di Loji Rawatan Air SSP3, Ijok. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X