Rabu, 7 March 2018 | 5:12pm

Pemansuhan tol berperingkat bukti kerajaan prihatin

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memansuhkan beberapa tol secara berperingkat sejak kebelakangan ini adalah satu perancangan strategik yang dilihat bukan hanya menjaga kepentingan pengguna, tetapi organisasi dan pihak berkepentingan yang terbabit.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MKN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek, berkata gaya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah memastikan setiap pembaharuan dibawanya termasuk isu tol ini mengambil kira semua pihak terbabit.

Katanya, pembaharuan dibawa itu mengambil kira kebebasan asasi untuk dinikmati rakyat dan menunaikan janji yang diberi sebelum pilihan raya umum lalu.

"Perdana Menteri mengambil pendekatan memansuhkan tol secara berperingkat kerana banyak pertimbangan perlu diambil sebelum berbuat demikian dan tindakan itu bukan bersifat sementara atau sekadar mengambil hati rakyat semata-mata.

"Ia tidak sama seperti zaman pentadbiran Perdana Menteri terdahulu apabila kepentingan organisasi diutamakan daripada kepentingan rakyat.

"Dalam isu pemansuhan tol, pertimbangan utama adalah untuk meringan beban rakyat, tetapi tidak menafikan kepentingan organisasi terbabit. Najib tidak mencengkam rakyat, apa dijanji sebaik mungkin cuba ditunaikan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Oktober tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan kutipan tol di empat lokasi masing-masing dua di Selangor, satu di Kedah dan satu di Johor akan dimansuhkan bermula 1 Januari lalu.

Pemansuhan kutipan itu membabitkan tol di Batu Tiga, Shah Alam; Sungai Rasau, Klang; Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor.

Abdul Halim berkata, pembinaan lebuh raya Pan Borneo adalah janji lama kerajaan yang ditunaikan pada zaman pentadbiran Najib yang mana asasnya, kerajaan menyediakan lebih banyak kemudahan asas mampu milik kepada rakyat.

"Ini satu fakta penting dan bukan 'dedak' tetapi usaha kerajaan meringan beban rakyat. Paling penting pendekatan wasatiyah di bawah pentadbiran kerajaan kini menunjukkan mereka bertanggungjawab dan tidak membeban rakyat untuk mengejar pembangunan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Ekonomi Majlis Perundingan Melayu (MPM), DrHasan Hamzah berkata, pentadbiran Najib mengutamakan keseimbangan dalam setiap dasar atau transformasi ingin dibawanya.

Beliau berkata, dalam isu pemansuhan tol, ramai berpendapat ia perlu dimansuhkan terus tetapi kerajaan mengambil pertimbangan membuat pemansuhan secara berperingkat.

Ini kerana, katanya, kerajaan menimbangkan kesan lain yang perlu diambil kira sebelum memansuhkan terus tol kerana ada kos perkhidmatan dan penyelenggaraan oleh konsesi, selain perjanjian perlu diteliti semula.

"Saya melihat transformasi dibawa kerajaan ini menerusi pengagihan kekayaan yang sihat dan secara beransur-ansur menolak monopoli organisasi," katanya.

Berita Harian X