Rabu, 7 March 2018 | 1:27pm
NAJIB merasmikan Program SL1M Peringkat Zon Tengah sambil diperhatikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (kiri); Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem (kanan) dan Norashikin di MAEPS, Serdang. - Foto Mohd Yusni Ariffin
NAJIB menyampaikan ucapan pada majlis perasmian program temuduga SL1M Peringkat Zon Tengah di MAEPS, Serdang. - Foto Mohd Yusni Ariffin

SL1M 2018 berita gembira buat pelatih

SERI KEMBANGAN: Tirai program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) bagi musim 2018 dibuka dengan langkah positif menerusi pengumuman kenaikan elaun daripada RM1,500 kepada RM2,000 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada perasmian acara itu, bulan lalu.

Pengumuman itu sekali gus membuktikan kerajaan begitu mengambil berat dan prihatin terhadap program yang dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan selepas menamatkan pengajian.

Usaha yang dilaksana sejak 2011 itu dilihat begitu berjaya kerana sehingga Disember 2017, seramai 144,440 graduan dibantu melalui pembabitan secara langsung atau tidak langsung menerusi program SL1M.

Tidak hairanlah, SL1M menjadi program pilihan utama graduan dalam mencari pekerjaan kerana ia bukan saja memberi peluang kepada mereka mendapatkan pekerjaan, malah ada antara mereka bagaikan tidak percaya berjaya kerana menjadi menjadi warga kerja syarikat terkenal dan ternama, hasil menghadiri program SLIM.

Peluang graduan mendapat kerjaya dan syarikat idaman mereka adalah hasil kerjasama SL1M dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.

Najib dalam ucapannya pada perasmian menyifatkan SL1M sebagai 'anak kunci' yang berfungsi membuka peluang kehidupan lebih baik kepada generasi muda melalui peluang pekerjaan disediakan.

Katanya, rajin, bersemangat dan bercita-cita saja tidak mencukupi tanpa 'anak kunci' yang biasanya tersedia melalui dasar disediakan kerajaan.

"Saya ingin mengajak anak muda yang sedang mencari kerja untuk menggunakan platform SL1M ini sebaik-baiknya.

"Rebutlah peluang yang disediakan. Persiapkan kelengkapan temu duga, teguhkan keyakinan diri dan jangan sia-siakan platform yang diberi. Gunakanlah Program SL1M ini sebagai a stepping stone for a better future," katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata, penganjuran edisi tengah yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) adalah yang terbesar.

Ia membabitkan 15,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh 150 syarikat dan agensi kerajaan.

"Kita menyasarkan 30,000 pengunjung untuk penganjuran kali ini. Ternyata ia melebihi sasaran apabila hari pertama saja lebih 35,000 pengunjung," katanya.

Penganjuran dua hari program temu duga terbuka itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 55,000 pengunjung iaitu jumlah paling ramai sejak diadakan.

Peluang jadi sukarela

Program temu duga terbuka zon tengah ini juga memberi peluang kepada 700 mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi sukarela.


PENGUNJUNG hadir memenuhi ruang legar pameran Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah di MAEPS, Serdang. - Foto Sairien Nafis

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata mahasiswa melalui pengalaman berharga dengan menjadi sukarelawan SL1M.

"Sebagai sukarelawan, mereka dapat pengalaman bagaimana cara untuk berkomunikasi, pengurusan dan bekerjasama dalam satu pasukan.

"Mereka bukan sahaja dapat melihat bagaimana temu duga berjalan tetapi membina rangkaian dan mengenali mereka yang terbabit dengan industri.

"Apa yang mereka lalui ini sangat bagus dan memberi manfaat kepada mereka apabila menamatkan pengajian," katanya.

Program Temuduga Terbuka SL1M tidak hanya menyediakan tawaran pekerjaan semata-mata, tetapi pengunjung yang hadir berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan.

Antaranya penampilan selebriti terkenal tanah air yang berkongsi kisah motivasi dan inspirasi bersama graduan dan pencari kerja yang hadir sekali gus menaikkan lagi semangat mereka untuk berusaha.

Kehadiran Faizal Tahir, Kumpulan Zero, Kumpulan Bocey, Wany Hasrita, Tajul, Haqiem Rusli, Hael Husaini, Aiman Tino, Sufian Suhaimi, Nabil Ahmad dan AG memeriahkan lagi Program Temuduga Terbuka SL1M.

Turut diadakan klinik resume, ceramah kerjaya bersama penampilan istimewa dan sesi motivasi bersama Sukur Ibrahim dan Imam Muda Asyraf.

Tidak ketinggalan, persembahan busker jalanan, pameran dan jualan kereta. Begitu juga cabutan bertuah menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk Perodua Myvi, motosikal, telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai lagi.

Majikan lahir sumber insan berkualiti

Kerjasama antara Syarikat Berkaitan Kerajaan dan (GLC) dan swasta adalah kelebihan yang ada pada Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).


NAJIB bergambar dan beramah mesra bersama majikan contoh selepas menyampaikan anugerah pada majlis perasmian program temuduga SL1M Peringkat Zon Tengah di MAEPS, Serdang. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sejak diperkenalkan pada 2011, lebih banyak syarikat GLC dan swasta tampil menjayakan program ini dan jumlahnya makin bertambah besar sejak tahun lalu apabila penyertaan syarikat dalam program SL1M menjadi pra syarat untuk mendapatkan tender kerajaan.

Antara syarikat yang aktif membantu SL1M termasuk UEM Group Berhad sehingga dipilih sebagai Majikan Terbaik Keseluruhan 2017.

Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Berhad, Datuk Izzadin Idris berkata, UEM sangat komited melaksanakan SL1M kerana program ini dilaksanakan secara menyeluruh di samping komitmen yang diberikan oleh sekreteriat SL1M sangat memberangsangkan.

"Sebagai majikan, kita cuba membantu mereka yang berkelulusan tetapi tidak mendapat pekerjaan. Tahun lalu kita mengambil 440 peserta dan ramai lagi yang datang temu duga terbuka kami tetapi apa yang cuba kami bantu adalah memperbaiki kemahiran insaniah peserta. Dengan ini apabila mereka pergi temu duga di tempat lain, mereka akan berjaya," katanya.

Izzadin berkata, tempoh setahun latihan SL1M adalah interview period dan pelatih yang menyerlah boleh bekerja serta diserap dalam pasukan kerjanya.

SL1M adalah satu tempoh latihan dalam satu tahun dan tiada sebarang komitmen diletakkan tetapi jika pelatih berketrampilan baik dan bagus bekerja akan diserap sebagai pekerja sepenuh masa.

Dapat kerja dalam tempoh tiga bulan

Bagi peserta yang tidak diserap, mereka akan mendapat pekerjaan di tempat lain dalam masa tiga bulan.

Sementara Khazanah Nasional iaitu pelabur terbesar untuk program SL1M, muncul sebagai pemenang emas bagi kategori Platinum.

Pengarah Eksekutifnya, Latifah Daud berkata, dari 2015 hingga 2017, Khazanah memberi peluang kepada 9,380 menyertai SL1M.

"Walaupun Khazanah kecil dan hanya mempunyai 460 kakitangan, pelatih SLIM ini kami letakkan di syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bekerjasama dengan kami.

"Lebih 1,000 syarikat PKS yang bekerjasama dengan Khazanah dan 76 peratus daripada peserta SL1M Khazanah berjaya mendapat pekerjaan dengan PKS di bawah Khazanah.

"Untuk 2017, Khazanah membelanjakan kira-kira RM80 juta untuk menjayakan program SL1M," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti, Lembaga Tabung Haji (TH), Mohd Norber Kassim, berkata sejak 2011 sehingga sekarang seramai 1,978 peserta dilatih oleh TH.

"Pelatih SL1M menunjukkan komitmen padu ketika menjalani latihan bersama TH dan mereka diberi peluang untuk menyantuni jemaah haji di tanah air yang dalam persiapan ke tanah suci.


PESERTA bersorak gembira selepas Najib mengumumkan kenaikan elaun peserta SL1M ketika majlis perasmian Program SL1M Peringkat Zon Tengah di MAEPS, Serdang. - Foto Sairien Nafis

"TH juga memberi peluang kepada dua pelatih SL1M untuk bertugas sebagai petugas haji di Tanah Suci," katanya.

Bagi Afifah Sabran, 29, graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Senibina, Universiti Sains Malaysia (USM), menjalani latihan SL1M di TH di bahagian hartanah selama setahun.

"Kemampuan saya menggunakan perisian auto cad memberi kelebihan kepada saya untuk dipilih sebagai kakitangan TH selepas enam bulan menamatkan latihan," katanya.

Graduan Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia), UNITEN, R Tamil Selvan, 25, berkata, dia hanya menganggur dua bulan selepas menamatkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Dia diterima mengikuti SL1M bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas mengikuti temu duga di Melaka September lalu.

"Menjadi impian saya untuk bekerja dengan TNB," katanya.

Noraishah Amin, 26, yang memiliki ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia Proses, Universiti Teknologi MARA (UiTM) akui tidak pernah terfikir akan menjadi sebahagian daripada warga kerja PETRONAS.

"Tanpa SL1M pastinya sukar untuk saya mencapai impian ini," katanya.

Usahawan orang kelainan upaya (OKU) dan juga pakar motivasi, Sukur Ibrahim berkata, graduan perlu merebut peluang yang ada untuk berjaya.

"Sebagai usahawan, kejayaan yang saya kecapi hari ini bukannya datang dengan mudah sebaliknya saya pernah gagal tiga kali.

"Kegagalan itu adalah proses pembelajaran dan saya perlu bersikap positif dan tidak mengaku kalah," katanya.


PENGUNJUNG hadir memenuhi ruang legar pameran Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah di MAEPS, Serdang. - Foto Sairien Nafis

Info
Majikan Terbaik Keseluruhan SL1M 2017

  • UEM Group Berhad

Majikan Platinum SL1M 2017

  • Emas: Khazanah Nasional Berhad
  • Perak: Lembaga Tabung Haji
  • Gangsa: PETRONAS

Majikan Diamond SL1M 2017

  • Emas: Maybank
  • Perak: Tenaga Nasional Berhad
  • Gangsa: Permodalan Nasional Berhad

Program SL1M di Sabah

Tarikh: 17 dan 18 Mac

Masa: 7 pagi - 6 petang

Tempat: Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Berita Harian X