Ahad, 4 March 2018 | 7:22pm

Persempadanan semula pilihan raya dibentang di Parlimen

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat, penggal keenam Parlimen Ke-13, yang bermula esok, akan membentangkan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pembentangan dan perbahasan usul itu dijangka menjadi antara agenda utama, selain membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada persidangan dijadualkan berlangsung selama 20 hari bermula esok hingga 5 April depan.

Usul itu dibentangkan sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, usul lain termasuk rang undang-undang berita palsu dijangka tidak dibentangkan pada persidangan kali ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, berkata rang undang-undang mengenai persempadanan semula disenaraikan untuk dibentangkan dalam persidangan yang sedang berlangsung.

"Ya, ia (persempadanan semula) disenaraikan (dibentangkan)," katanya menerusi sistem pesanan ringkas kepada New Straits Times Press (NSTP), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai jangkaan tarikh pembentangan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, tidak menolak kemungkinan usul persempadanan semula akan selesai dibahaskan dalam tempoh persidangan.

"Jika tidak ada apa-apa perkara berbangkit atau bantahan daripada mana-mana Ahli Parlimen, saya jangka usul persempadanan semula akan diterima dengan mudah melalui undian majoriti mudah.

"Saya anggap apabila usul persempadanan semula dibentangkan di Parlimen, semua pihak termasuk Kerajaan Selangor sudah bersetuju dengan usul berkenaan.

"Ini bermakna, sebarang bantahan daripada Kerajaan Selangor sudah diselesaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Ketika banyak pihak meramalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mungkin membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya, agenda persempadanan semula dijangka akan dibentangkan pada minggu keempat.

Ketika ini, banyak pihak menunggu keputusan usul persempadanan semula dibahaskan dan diterima untuk dilaksanakan proses peralihannya oleh SPR.

Pada 2 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Kerajaan Selangor menghalang SPR mengemukakan Laporan Siasatan Tempatan mengenai cadangan persempadanan semula di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kepada Perdana Menteri.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati Dewan Rakyat mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan proses peralihan semula.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, mesyuarat pertama akan bermula dengan usul terima kasih dan perbahasan mengenai amanat diraja yang akan diadakan selama lebih dua minggu.

"Menteri akan memberi makluman balas pada minggu ketiga. Perbahasan rang undang-undang dari tempat duduk terakhir dan yang baharu akan diadakan pada minggu keempat dan kelima," katanya.

Minggu lalu, Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah dilaporkan berkata, persidangan Parlimen akan memasukkan Masa Soalan Menteri selama 30 minit setiap hari Selasa dan Khamis dan ucapan mengenai Perniagaan Pentadbiran Kerajaan di bawah Peraturan 17 pada jam 2.30 petang setiap hari di Dewan Khas Parlimen.

Sementara itu, notis persidangan terakhir Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah diedarkan kepada 222 ahli Dewan Rakyat sejak 19 Januari lalu.

Berita Harian X