Ahad, 4 March 2018 | 3:24pm
PENGERUSI FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad. - Foto Adnan Ibrahim

FELDA dapat semula tanah Jalan Semarak minggu depan

KLUANG: FELDA akan memperoleh kembali tanahnya yang bernilai RM270 juta di Jalan Semarak secara rasminya minggu depan, kata Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata, pemulangan semula hak milik tanah berkenaan membuktikan komitmen bersungguh dan berterusan FELDA dalam menjaga harta miliknya, di samping kebajikan peneroka.

"Insya-Allah FELDA akan dapat kembali hak milik tanah Jalan Semarak secara rasmi pada minggu hadapan.

"Proses penukaran nama hak milik geran tanah ke atas nama FELDA sedang dilaksanakan minggu ini dan dijangka selesai dalam masa terdekat, semua tanda tangan yang diperlukan kita sudah dapat.

"Kita jangkakan Isnin minggu depan, semuanya selesai dan geran hak milik akan kembali di atas nama FELDA, " katanya selepas perasmian Karnival Orang FELDA Sembrong Kita di padang FELDA Ulu Penggeli, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein merangkap Ahli Parlimen Sembrong yang merasmikan karnival itu.

Januari lalu, BH melaporkan FELDA akan memperoleh kembali tanahnya di Jalan Semarak tanpa kos daripada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Kontroversi membabitkan tanah FELDA tercetus selepas BH mendedahkan FELDA berisiko kehilangan tanah miliknya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak bagi tujuan pembangunan KLVC menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Sementara itu, Shahrir berkata, siasatan polis dan dalaman terhadap kes berkenaan masih berjalan walaupun hak milik tanah berkenaan sudah kembali kepada FELDA.

"Ini kerana siasatan dijalankan polis dan siasatan dalaman FELDA mendapati terdapat unsur meragukan dalam urus niaga berkenaan," katanya.

19 dibaca
Berita Harian X