Sabtu, 3 March 2018 | 5:18pm
ULAT bungkus merosak tanaman kelapa sawit.

Ulat bungkus serang 33,000 hektar sawit

TELUK INTAN: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sedang berusaha menerangkan kepada 350,000 pekebun kecil kelapa sawit mengenai serangan ulat bungkus yang merosakkan tanaman sawit.

Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diberi tanggungjawab menemui pengusaha untuk menerangkan kaedah menangani serangan ulat berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini kawasan ladang kelapa sawit seluas 33,000 hektar dilaporkan diserang ulat bungkus sejak tahun lalu.

"Kesan serangan ulat ini sangat membimbangkan kerana ia mengakibatkan kemerosotan hasil buah pokok yang diserang sehingga 50 peratus dengan nilai kerugian dianggarkan RM120 juta setahun.

"Kerajaan pada Oktober tahun lalu sudah menyediakan peruntukan RM12.4 juta untuk melaksanakan kawalan ulat bungkus secara bersepadu di kawasan tanaman sawit milik pekebun kecil," katanya pada sidang media selepas Program Pemimpin Bersama Pekebun Kecil Daerah Hilir Perak di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MPOB, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, yang juga Ahli Lembaga Pengarah MPOB Hilir Perak.

Kata Siew Keong, antara langkah kawalan ulat bungkus yang diambil ialah melaksanakan semburan racun secara percuma dengan menggunakan traktor dan pesawat penyembur.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, berkata sehingga Januari lalu kawasan tanaman sawit di Perak dan Johor seluas 1,400 hektar yang diserang ulat bungkus sudah disembur racun.

"Johor adalah negeri paling teruk diserang ulat ini membabitkan kawasan tanaman sawit seluas 19,600 hektar diikuti Perak seluas 6,200 hektar.

"Kerajaan memberi jaminan akan membantu pekebun sawit dalam menangani masalah serangan ulat bungkus ini," katanya.

Berita Harian X