Khamis, 1 March 2018 | 3:57pm
NORASHIKIN Datuk Ismail (belakang tengah) bergambar bersama barisan artis yang hadir sidang media SL1M di Philea Mines Beach Resort. Turut kelihatan Duta SL1M, Kumpulan Zero, Faizal Tahir (dua kiri) Stacy (belakang dua kanan) dan Marsha Milan Londoh (belakang kanan). - Foto Nurul Syazana Rose Razman
NORASHIKIN Datuk Ismail (kanan) bercakap pada sidang media SL1M di Philea Mines Beach Resort. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Elaun baharu SL1M bermula hari ini

SERDANG: Kenaikan elaun bulanan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) daripada RM1,500 kepada RM2,000 berkuat kuasa hari ini.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata elaun berkenaan mesti diberi kepada semua pelatih yang sedang dan bakal mengikuti program SL1M.

"Semua syarikat yang melaksanakan SL1M diminta menyatakan tarikh kuat kuasa dan jumlah elaun terbaru apabila mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada bakal pelatih SL1M di organisasi mereka.

"Sekiranya pihak syarikat gagal membayar elaun ditetapkan, pelatih boleh membuat aduan kepada Sekretariat SL1M.

"Tindakan akan diambil terhadap syarikat berkenaan seperti tender kerajaan yang diperoleh ditarik balik," katanya pada sidang media program Temu Duga SL1M peringkat Sabah di sini, hari ini.

Norashikin berkata, SL1M tidak akan membebankan syarikat dan pihaknya sedia berbincang bagi menyelesaikan kemusykilan yang timbul.

"Mereka boleh mengurangkan kuota pengambilan pelatih SL1M atau memendekkan tempoh latihan kepada sembilan bulan contohnya, namun tidak boleh kurang daripada lapan bulan," katanya.

Minggu lalu, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kadar elaun bulanan SL1M dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000.

Sementara itu, pencari kerja dan graduan di Sabah dijemput menghadiri Program Temu Duga Terbuka SL1M peringkat negeri di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 17 dan 18 Mac ini.

Berita Harian X