Rabu, 28 Februari 2018 | 5:49pm
PRESIDEN myPPP, Tan Sri Dr M Kayveas berbual dengan Rubiah Samah, 65 selepas beliau menaja menunaikan umrah. - Foto Ihsan Media Sosial

Menangis gembira ditaja tunai umrah

IPOH: "Mak cik gembira kerana dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci (Makkah), kalau nak ikutkan kemampuan keluarga memang mak cik tidak mampu kerana bukannya daripada keluarga senang," kata Rubiah Samah, 65, yang menerima tajaan menunaikan umrah oleh Presiden myPPP, Tan Sri Dr M Kayveas.

Kisah Rubiah yang menerima tajaan Kayveas menjadi bualan sejak beberapa minggu lalu selepas video berdurasi dua minit 39 saat memaparkan Rubiah mengucapkan terima kasih dan memeluk Kayveas viral di media sosial.

Rubiah berkata, selain gembira dia juga bersyukur kerana ada pihak sanggup menghantarnya menunaikan umrah walaupun individu berkenaan baru saja dikenalinya.

Katanya, dia yang bertemu Kayveas di sebuah restoran di Tanah Rata, Cameron Highlands terkejut apabila hasrat disuarakannya kepada Kayveas untuk menunaikan umrah menjadi kenyataan.

"Alhamdulillah, mak cik sudah selamat menyempurnakan ibadah umrah buat kali pertama dalam hidup dan sangat bersyukur kerana impian berada di Tanah Suci menjadi kenyataan.

"Mak cik bertolak ke Tanah Suci pada 30 Januari lalu dan pulang 14 hari selepas itu dan tajaan diberikan Tan Sri (Kayveas) akan mak cik kenang sehingga akhir hayat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rubiah yang tinggal di Tanah Rata berkata, dia tidak menyangka Kayveas sanggup menajanya menunaikan umrah kerana berlainan agama dan sikap ditunjukkan Kayveas itu seharusnya diikuti pemimpin lain.

Katanya, walaupun berlainan agama, tidak salah untuk dia mendoakan kesejahteraan Kayveas dan berharap dia terus sihat serta mampu menjadi pemimpin berwibawa.

"Kali pertama bertemunya, mak cik tidak mengenalinya dan terkejut apabila diberitahu rakan, namun sikap peramah serta prihatinnya membuatkan mak cik sangat menyukainya," katanya.

125 dibaca
Berita Harian X