Ahad, 25 Februari 2018 | 4:52pm
ANTARA graduan yang hadir ke Program Temuduga Terbuka SL1M peringkat Zon Tengah di MAEPS, Serdang. - Foto Zunnur Al Shafiq
NORASHIKIN (dua dari kiri) membantu graduan yang hadir di Program Temuduga Terbuka SL1M peringkat Zon Tengah di MAEPS, Serdang. - Foto Zunnur Al Shafiq

Agresif rebut peluang walaupun SL1M bantu

SERDANG: Graduan digalakkan untuk lebih aktif merebut peluang dan ruang pekerjaan yang disediakan oleh pelbagai agensi di negara ini.

Ketua Sekretariat Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M), Norashikin Ismail, berkata pihaknya berusaha menyediakan platform kerjaya, namun masih ramai graduan bersikap pasif.

Beliau berkata, sikap malas sesetengah graduan yang tidak mahu merebut peluang menyebabkan diri mereka sendiri gagal mendapatkan pekerjaan.

"Program Temuduga Terbuka SL1M ini yang terbesar pernah diadakan dan ia mencakupi skop pekerjaan yang lebih meluas.

"Maklum balas daripada orang ramai sangat menakjubkan, kira-kira 55,000 pengunjung membanjiri ekspo sepanjang dua hari ini.

"Selain tawaran pekerjaan, khidmat latihan industri program ini juga menyediakan pelbagai lagi perkhidmatan lain seperti bantuan mengemas kini resume. Justeru, tidak ada alasan untuk tidak merebut setiap peluang yang disediakan," katanya ketika ditemui pada Program Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

SL1M yang dianjurkan kali ini menawarkan lebih 15,000 tawaran pekerjaan dan latihan dengan 150 pempamer dari agensi kerajaan dan swasta.

Sementara itu, peserta temu duga SL1M, Syed Mohd Moharjir Syed Tahar, 30, tidak menjangka kunjungannya pada hari kedua program temu duga SL1M membuka pintu rezeki baginya.


PENGARAH Pengurusan Solaralert, Zainal Abidin Abd Rahman (kanan) menyampai surat penerimaan kerja kepada Syed Mohd Moharjir (tengah) sambil diperhatikan Penyelia Solaralert, Mohd Jafni Jumaat Janipha (kiri) pada Program Temuduga Terbuka SL1M peringkat Zon Tengah di MAEPS, Serdang. - Foto Zunnur Al Shafiq

Graduan kejuruteraan awam di sebuah institut pendidikan swasta ini berkata, tidak dinafikan pada hari ini pencarian kerja sangat mencabar sekali gus menyebabkan beliau mencari pengalaman di luar bidang.

"Selama dua tahun saya bekerja di luar bidang iaitu bahagian peruncitan.

"Alhamdulillah, sebaik saja ditemuduga di sini saya mendapat surat tawaran daripada majikan syarikat kejuruteraan.

"Tanpa bantuan kerajaan seperti program SL1M, kemungkinan saya belum boleh memulakan kerja dalam bidang yang dipelajari," katanya.

Peserta temuduga SL1M, Nur Amalina Muhamad, 26, berkata program ini bukan saja memberi jaminan pekerjaan, tetapi juga memberi latihan industri di samping mendapat elaun yang lumayan.

Beliau yang juga graduan undang-undang sehingga kini belum diterima bekerja dalam bidang yang diceburi.

"Saya sudah banyak kali bertukar kerja tetapi kali ini saya tekad dan melihat peluang yang ditawarkan pada program temu duga SL1M menepati kehendak graduan pelbagai bidang.

"Apa yang saya lihat SL1M kali ini ia memberi jaminan pekerjaan dan latihan. Majikan di sini berkata mereka akan pastikan peserta mendapat pekerjaan selepas dilatih dan ini adalah berita baik buat kami," katanya.

Peserta orang kurang upaya (OKU), Nurul Amira Ismail, 20, turut hadir untuk ditemuduga selain melihat peluang pekerjaan disediakan untuknya.


TEMUDUGA yang dijalankan secara langsung kepada pemohon pada Program Temuduga Terbuka SL1M peringkat Zon Tengah di MAEPS, Serdang hari ini. - Foto BERNAMA

Dia yang cacat pendengaran hadir ditemani kedua ibu bapanya.

"Ini kali pertama saya hadir untuk temu duga selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

"Saya gementar dan takut, namun tidak mahu lepaskan peluang malah jika ada rezeki, saya tidak sabar untuk bekerja," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan kenaikan elaun bulanan SL1M daripada RM1,500 kepada RM2,000.

Program SL1M yang dilancarkan pada 1 Jun 2011, adalah program kebolehpasaran bertujuan membantu graduan menganggur meningkatkan tahap keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Berita Harian X