Jumaat, 23 Februari 2018 | 7:10pm

Mereka berkorban demi negara

KUALA LUMPUR: Tiga juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban ketika bertugas dikurniakan anugerah secara anumerta (posthumous), hari ini.

Individu terbabit ialah mendiang Mejar C Kayamboo, yang maut dalam nahas pesawat Beechcraft King Air 200T di Pangkalan TUDM pada 21 Disember 2016 serta Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof dan Allahyarham Mejar Mohd Hasri Zahari, yang masing-masing terkorban dalam nahas pesawat Hawk 108 ketika sesi latihan di Chukai, Kemaman, Terengganu pada 15 Jun 2017.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan hari ini menyebut, tiga tokoh berkenaan diraikan dalam satu majlis penganugerahan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menabur bakti kepada TUDM dan negara.

"Ketiga-tiga individu berkenaan menerima satu kenaikan pangkat asal mereka.

"Penganugerahan pangkat berkenaan disampaikan kepada isteri mendiang Kayamboo, S Usha; isteri Allahyarham Yazmi, Shofara Izwa Hilmi dan isteri Allahyarham Hasri, Asysyuhadak Ahmad," katanya.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang di Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan, di sini, pagi tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Sri Ackbal Abdul Samad serta Panglima Pendidikan dan Latihan Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Kamarulzaman Mohd Othman.

Majlis yang berlangsung secara sederhana dan suram pada mulanya berubah lebih ceria selepas hadirin 'diimbaukan' dengan pencapaian dan pengorbanan tokoh terbabit.

Berita Harian X