Khamis, 22 Februari 2018 | 3:15pm
PEKERJA kontrak melakukan kerja-kerja merobohkan Plaza Tol Batu 3, Shah Alam, semalam. - Foto Muhammad Sulaiman

Roboh plaza tol secara tertutup

SHAH ALAM: Proses merobohkan struktur fizikal Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau perlu dilakukan serentak bagi mengurangkan risiko, termasuk kemalangan maut.

Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Datuk Nor Hisham Ses, berkata pihak bertanggungjawab perlu merobohkannya secara teratur dan mengikut prosedur.

"Proses itu perlu dijalankan mengikuti spesifikasi ditetapkan menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

"Sepanjang proses itu, aliran trafik perlu dikawal selia oleh pihak terbabit supaya tidak mengganggu pengguna jalan raya.

"Proses merobohkan struktur itu sepatutnya tidak dijalankan secara terbuka, sebaliknya perlu ditutup dengan penghadang bagi mengelak pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang dilakukan.

"Keadaan itu menyebabkan lalu lintas perlahan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Nor Hisham turut mencadangkan kawasan kiri dan kanan tapak bekas plaza tol itu dijadikan litar mini atau pusat perniagaan yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat.

Katanya, lokasi itu boleh dimanfaatkan sebagai tapak restoran makanan segera atau tempat riadah golongan muda seperti litar mini dikendalikan pihak tertentu.

Sejak malam kelmarin, kerja merobohkan struktur Plaza Tol Batu Tiga dilakukan dan akan diteruskan sehingga akhir bulan depan.

Tinjauan NSTP mendapati, bumbung di empat lorong kiri menghala ke Shah Alam dan Klang juga dicabut, manakala tembok batu penghadang setiap laluan tol dipecahkan.

Kerja dilakukan membabitkan sebahagian besar laluan tol berkenaan dan hanya beberapa lorong dibuka untuk pengguna.

Berita Harian X