Rabu, 21 Februari 2018 | 7:29pm
PLAZA Tol Batu Tiga. - Foto BERNAMA

Patuhi papan tanda amaran - PLUS

SHAH ALAM: Pengguna jalan raya yang melalui Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini, dinasihatkan mematuhi papan tanda amaran had laju dengan memperlahan kenderaan masing-masing ketika menghampiri kawasan plaza tol.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail, berkata papan tanda amaran seperti had kelajuan kenderaan, dilarang memotong dan lencongan di hadapan disediakan untuk memberi peringatan kepada kira-kira 150,000 pemandu yang melalui kawasan itu setiap hari.

"PLUS turut meletakkan kon keselamatan berpelekat pemantul cahaya di lokasi untuk membolehkan pemandu mengetahui kedudukan lorong.

"Lampu jalan turut dinyalakan pada waktu malam untuk membantu orang ramai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerja pengurusan trafik dan penutupan lorong di Plaza Tol Batu Tiga bermula malam tadi, manakala di Plaza Tol Sungai Rasau bermula malam ini seperti dijadualkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md Salleh, meminta pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya ketika mendekati plaza tol berkenaan dengan mengurangkan kelajuan kenderaan sehingga 30 kilometer sejam.

Struktur Plaza Tol Batu Tiga, yang operasi kutipan tolnya dibatalkan bermula 1 Januari lalu, mendapat perhatian orang ramai apabila meragut empat nyawa pengguna jalan raya dalam tempoh dua bulan tahun ini.

Dalam kes terbaru Isnin lalu, dua sahabat terbunuh apabila kereta dinaiki gagal dikawal lalu merempuh tembok tol dalam kejadian 12.55 tengah malam.

Kemalangan maut akibat rempuhan tembok plaza tol itu adalah yang kedua selepas nahas yang meragut nyawa dua sahabat pada 15 Januari lalu.

Kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan bermula 1 Januari lalu, susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika pembentangan Bajet 2018 pada Oktober 2017. - BERNAMA

Berita Harian X