Rabu, 21 Februari 2018 | 6:58pm
SEBAHAGIAN daripada serpihan kaunter tol yang sudah dirobohkan di Plaza Tol Batu 3 Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Ikut prosedur roboh plaza tol

SHAH ALAM: Kerja merobohkan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini, perlu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak kemalangan dalam kalangan pengguna.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, Mohammad Fakhri Mansor, berkata pihaknya bimbang aspek keselamatan diabaikan jika kerja merobohkan struktur itu dilakukan secara tergesa-gesa susulan desakan pelbagai pihak.

"Kita harap pihak yang diberi tanggungjawab merobohkan pondok tol melakukan kerja terbabit dengan berhati-hati dan mengambil kira aspek keselamatan secara menyeluruh.

"Syarikat yang diberi tender perlu memastikan kawasan laluan bekas tol ini betul-betul bersih dan bebas daripada objek membahayakan," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Mohammad Fakhri berkata, sikap pengguna jalan raya turut menyumbang terhdap berlakunya kemalangan di kawasan itu.

Pada masa sama, katanya, faktor kebanyakan kemalangan di kawasan itu berlaku pada awal pagi boleh menyebabkannya menjadi 'lokasi hitam' walaupun plaza tol sudah dirobohkan.

Kerja merobohkan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau bermula malam tadi, dengan sebahagian daripada struktur fizikal sudah dipecahkan.

Sebelum ini, banyak pihak terutama pengguna lebuh raya mendesak plaza tol itu dirobohkan selepas berlaku beberapa kemalangan yang meragut nyawa.

Kelmarin, dua pengguna Lebuhraya Persekutuan menjadi korban apabila kereta dinaiki sepasang sahabat dipercayai gagal dikawal lalu merempuh tembok tol pada jam 12.55 tengah malam.

Ia adalah kemalangan maut kedua di lokasi itu selepas nahas meragut nyawa dua sahabat pada 15 Januari lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, dilaporkan berkata, kerja meroboh struktur binaan Plaza Tol Batu Tiga akan selesai selewat-lewatnya hujung bulan depan.

Berita Harian X