Rabu, 21 Februari 2018 | 1:31pm
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman (kanan) dan Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri) pada majlis Wacana Diraja: Raja, Perlembagaan & Patriotisme anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) di Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

Institusi diraja berhak menegur demi rakyat

KUANTAN: Institusi diraja berhak memberi pendapat, menasihati dan menegur isu berkaitan kepentingan rakyat.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah ia bertepatan dengan sistem Raja Berperlembagaan sebagai mekanisme penyatuan kepelbagaian budaya, agama dan penangkis ancaman kemakmuran serta keamanan negara.

"Peranan Raja Berperlembagaan menzahirkan pendapat dan menegur dalam isu berkepentingan kepada rakyat dan negara.

"Malah ia turut dijelaskan Pensyarah Undang-Undang, Universiti Malaya, Emeritus Prof Dr Shad Saleem Faruqi yang menyatakan raja turut berperanan menggunakan kewibawaannya menegur, menasihati dan mencari jalan penyelesaian apabila keharmonian dan perpaduan serta kesejahteraan rakyat tergugat.

"Peranan ini menjadi penting selepas Pilihanraya Umum 2008 apabila krisis perlembagaan berhubung pelantikan Menteri Besar di Perlis, Perak, Selangor dan Terengganu berjaya diselesaikan menerusi kewibawaan serta kebijaksanaan raja pemerintah," titahnya merasmikan Wacana Diraja: Raja, Perlembagaan & Patriotisme anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Presiden MUBARAK, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah bertitah, kewibawaan Raja Berperlembagaan menegur dan memberi pandangan menepati ciri-ciri konsep 'patriotisme konstruktif' dipelopori Robert Schatz serta Ervin Staub dalam buku mereka berjudul 'Manifestations Of Blind And Constructive Patriotism'.

Titahnya, teori itu menjelaskan bahawa kewibawaan menegur dan memberi pandangan adalah berpunca daripada perasaan cinta mendalam serta rasa tanggungjawab tinggi kepada negara.

"Seorang patriotik yang konstruktif akan mempersoal dan mengkritik demi membawa perubahan positif kepada negara, ia juga mempamerkan perasaan marah serta malu di atas tindakan tidak wajar pihak tertentu membawa impak negatif kepada negara.

"Berlawanan konsep patriostisme membuta tuli, golongan berkenaan tidak mahu mengkritik dan menerima kritikan. Mereka berpandangan bahawa semua dasar, ketetapan serta tindakan mereka adalah baik, tepat serta tiada cacat celanya.

"Pada hemat beta, si patriot yang membuta tuli ini hanya akan mengundang padah kepada negara kerana pemikiran seperti ini adalah asas pemerintahan 'authoritarian', beta minta supaya diturut kewibawaan seorang Raja Berpelembagaan yang mengamalkan 'patriotisme konstruktif' kerana ciri-ciri ini adalah lambang seorang mengamalkan demokrasi matang," titahnya.

Tengku Abdullah juga berkata, peranan institusi diraja sebagai simbol perpaduan masih kekal relevan di Malaysia yang memiliki kepelbagaian demografi politik, sosial, agama dan ekonomi.

Titahnya, ia bertambah relevan apabila negara berhadapan pelbagai ancaman globalisasi melalui penyebaran teori modernisasi dan demokrasi ala barat sehingga menyebabkan berlakunya pertembungan dengan nilai jati diri negara.

"Keunikan negara kita juga turut menzahirkan keperluan satu institusi berkecuali yang tinggi kedudukannya untuk menegur, menasihati dan memberi pandangan.

"Jika tiada institusi seperti ini, maka kesepaduan dan patriotisme serta kesetiaan rakyat kepada negara lama kelamaan akan terhakis," titahnya lagi.

Pemangku Raja Pahang itu turut menolak tanggapan yang menggambarkan Raja-Raja Melayu sebagai tidak patriotik serta melanggar konsep kesetiaan antara Raja dengan Rakyat selepas kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu sekitar abad ke-19 dan menyerahkan kedaulatan negeri Melayu.

"Beta berani berhujah menangkis tanggapan negatif seperti ini dengan menyatakan bahawa sebenarnya semangat patriotisme Raja-Raja Melayu masih kekal utuh dan sentiasa berpegang kepada ikatan kesetiaan Sang Saperba.

"Hakikatnya, negeri-negeri Melayu tidak pernah menjadi 'koloni' Inggeris dan Raja-Raja Melayu masih kekal bersemayam di atas singgahsana serta mempunyai kuasa untuk memerintah negeri," katanya.

86 dibaca
Berita Harian X