Selasa, 20 Februari 2018 | 8:28pm
WARIS Jeleha Hashim tidak dapat menahan sebak di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh hari ini. - Foto BERNAMA

'Saya akan jaga 2 adik dengan baik'

SUNGAI BULOH: "Saya akan menjaga dua adik perempuan dengan sebaik mungkin," kata anak sulung kepada arwah Jeleha Hashim, 48, yang juga seorang daripada lima mangsa lemas di Sungai Gasi, dekat sini, semalam.

Muhd Badrul Baharin, 21, yang bekerja di sebuah kedai elektronik berkata, dia terkejut dan sedih selepas mengetahui ibunya meninggal dunia akibat dihanyutkan arus deras ketika memancing bersama bapa tirinya, Shamsul Azhar Maula Ismail, 33.

"Pada awalnya, ibu ada mengajak saya mengikutnya pergi memancing, namun saya menolak kerana mempunyai urusan lain.

"Saya reda dengan pemergian ibu dan selepas ini akan memikul tanggungjawab menjaga dua adik perempuan dengan baik," " katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh, sebentar tadi.

Selain Muhd Badrul, Allahyarham Jeleha meninggalkan dua anak perempuan iaitu Umie Juliana, 19, dan Siti Nur Jannah, 14.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kemensah, Ampang selepas solat Isyak malam ini.

Berita Harian X