Selasa, 20 Februari 2018 | 5:32pm
FADILLAH (kanan) melihat lakaran model Hospital Parit Buntar selepas Majlis Pecah Tanah Hospital Parit Buntar. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Kontraktor Kelas F bersaing rebut projek kerajaan

PARIT BUNTAR: Kontraktor Kelas F perlu bersaing dengan lebih hebat bagi mendapatkan 30 peratus daripada jumlah projek atau tender kerajaan yang diberikan kepada syarikat konsesi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata persaingan itu penting bagi memastikan kualiti atau mutu kerja kontraktor Kelas F terjamin, sekali gus mengelak kontraktor konsesi dikenakan tindakan kerajaan.

"Semalam, Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) mengadakan sidang media mengatakan mereka tidak bersetuju apabila projek kerajaan diserahkan terus kepada konsesi dan meminta projek diagihkan secara undi.

"Pihak kerajaan sudah memutuskan secara dasar sebarang projek kerajaan diserahkan sepenuhnya kepada konsesi dan 30 peratus daripada jumlah projek diterima itu perlu diserahkan kepada kontraktor Kelas F. Jadi, mereka perlu bersaing mendapatkan projek terbabit bagi memastikan kualiti kerja.

"Ini kerana jika mereka (kontraktor Kelas F) tidak menepati ciri dimahukan, konsesi akan dikenakan tindakan oleh kerajaan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Hospital Parit Buntar, di sini, hari ini.

Semalam, Presiden Perkobf Malaysia, Tukiman Radion pada sidang medianya mengeluh ekoran kekurangan projek kira-kira 24,000 ahli mereka kerana kewujudan syarikat konsesi, malah menyifatkan kehidupan ahli 'amat daif' dan menganggap dipinggirkan kerajaan kerana suara mereka tidak didengar.

Beliau menggesa pemberian projek kepada syarikat konsesi dihapuskan supaya sesebuah projek dapat diberi terus kepada kontraktor Kelas F.

Katanya, ini kerana syarikat konsesi yang menjadi orang tengah dalam sesebuah projek kadangkala mendapat untung atas angin berbanding kontraktor kelas F.

Fadillah berkata, pendekatan digunakan kini dibuat bagi memastikan jika berlaku sebarang kecemasan, syarikat konsesi boleh masuk dan mengendalikan sebarang projek dilaksanakan.

"Sebagai contoh jika sesebuah jalan terputus akibat banjir, syarikat konsesi akan menggunakan modal mereka dulu bagi kerja menyelenggara dan baik pulih tanpa menunggu kelulusan tender kerajaan yang kadangkala mengambil masa lebih sebulan untuk diluluskan.

"Dari segi dasar ia digelar kaedah penswastaan yang mana peranan swasta penting bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat tanpa perlu menunggu waktu lama," katanya.

Beliau berkata, kerajaan masih melaksanakan kaedah cabutan undi dalam kalangan kontraktor Kelas F bagi memastikan mereka mendapat projek secara bergilir-gilir.

"Kita ada 28,000 kontraktor Kelas F, manakala projek kerajaan tidak sampai ke angka itu.

"Sebab itu kita masih melaksanakan kaedah undi supaya mereka diberi projek secara bergilir, namun kontraktor terbabit perlu bersaing lebih hebat lagi," katanya.

Berita Harian X