Isnin, 19 Februari 2018 | 3:07pm
SHAHRIR Abdul Samad. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Dokumen pindah milik tanah FELDA siap untuk dihantar

JOHOR BAHRU: Semua dokumen berkaitan termasuk Borang 14A, berhubung penukaran hak milik tanah dekat Jalan Semarak, Kuala Lumpur, sudah disediakan dan ditandatangani FELDA.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata semua dokumen berkenaan akan dihantar kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tujuan pertukaran hak milik tanah.

Ketika ditanya tarikh tepat pihaknya akan menyerahkan semua dokumen permohonan itu, Shahrir hanya tersenyum sambil meminta semua pihak bersabar menunggu tindakan susulan dilakukan pihaknya.

"Borang 14A dan semua dokumen berkaitan pemindahan nama (hak milik) sudah ditandatangani (oleh FELDA), hanya tinggal nak hantar. Tunggulah, semua akan selesai dan ia (tanah) akan balik kepada FELDA.

"Ini bukan 'magic' (silap mata) seperti didakwa sesetengah pihak. Semuanya boleh diselesaikan kerana kita di pihak kerajaan dan kuasa pada kita. Semua ini (isu tanah FELDA) bukan dibuat-buat atau direka-reka," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Shahrir berkata, FELDA akan terus menyerahkan tanggungjawab pembangunan tanah di Jalan Semarak itu kepada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) tetapi perbincangan lanjut mengenainya akan dibuat selepas selesai proses pemindahan hak milik.

Kontroversi membabitkan tanah FELDA itu terbongkar selepas BH dalam laporan muka depannya pada 21 Disember lalu mendedahkan agensi berkenaan berisiko kehilangan tanah miliknya di Jalan Semarak.

Pindah milik yang diragui itu dipercayai berlaku apabila SPSB dilantik sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Pasukan firma audit luar yang dilantik melakukan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) menyerahkan laporan akhir kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2 Februari lalu untuk meneliti dan bersetuju ia memenuhi objektif pengauditan ditetapkan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi mengambil tindakan atas cadangan dan syor laporan audit itu.

Jawatankuasa Perunding turut ditubuhkan bagi mengkaji semula perjanjian di antara FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dengan SPSB dan Synergy Promenade Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd (SPKLVCSB).

Jawatankuasa itu disertai Datuk Dr Yusof Ismail, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Datuk Ab Ghani Mohd Ali, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Datuk Seri Ahmad Husni Hussain.

24 dibaca
Berita Harian X